PERSATUAN Minyak Sawit Malaysia (MPOA) mengumumkan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Pengerusi baharu MPOA bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Pelantikan Mohd Haris diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-27 MPOA yang berlangsung di Royale Chulan Damansara pada Khamis lepas.
Mohd Haris yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman di peringkat global dalam sektor hiliran khususnya perdagangan komoditi, perolehan dan transformasi strategik dijangka menerajui fasa pertumbuhan baharu MPOA.
Beliau kini mengetuai SD Guthrie Berhad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan serta dikenali dengan kepimpinan berwawasan dalam memacu kecemerlangan operasi syarikat.
Selain menerajui MPOA, Mohd Haris turut memegang beberapa jawatan penting dalam industri minyak sawit negara.
Beliau merupakan Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM), selain menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Menerusi peranan itu, beliau memainkan peranan dalam memperkukuh standard industri, memperluas agenda kemampanan dan meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran global.
Mohd Haris mengambil alih jawatan berkenaan daripada Datuk Lee Yeow Chor yang memimpin MPOA selama enam tahun.
Sebagai Pengerusi baharu, beliau akan mengetuai hala tuju strategik MPOA serta bekerjasama rapat dengan barisan kepimpinan persatuan bagi memperjuangkan kepentingan industri sawit ke arah masa depan yang lebih mampan, berdaya saing dan makmur.
MPOA merupakan persatuan yang mewakili kepentingan syarikat perladangan di Malaysia dengan misi membantu ahlinya melalui kerjasama erat bersama kerajaan, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan lain dalam menangani pelbagai isu industri.
Persatuan itu turut berperanan memudah cara kerjasama berkaitan aspek pematuhan, selain menyumbang kepada penggubalan dasar, peraturan serta piawaian industri perladangan negara.
Ketika ini, MPOA mempunyai 139 syarikat ahli yang menguruskan kira-kira 1.915 juta hektar kawasan tanaman dengan sebahagian besarnya kelapa sawit melibatkan 1,316 ladang dan 227 kilang di seluruh negara.



