KUALA LUMPUR: Tiga cadangan yang dibawa delegasi Malaysia pada Sidang Ke-20 Persidangan Kesatuan Parlimen Negara-Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (PUIC) di Baku, Azerbaijan berjaya diangkat sebagai sebahagian daripada 28 resolusi Deklarasi Baku yang dipersetujui negara anggota.
Senator Dewan Negara, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kejayaan itu membuktikan pendirian Malaysia dalam memperjuangkan keamanan sejagat, pemeliharaan hak asasi manusia serta tadbir urus teknologi yang bertanggungjawab terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, antara cadangan yang diterima ialah gesaan supaya tindakan segera diambil bagi mempertahankan hak asasi komuniti Islam Rohingya dan kumpulan Muslim lain di Myanmar susulan pencabulan hak asasi manusia yang berterusan.
“Resolusi itu turut menggesa masyarakat antarabangsa mempertahankan hak dan kebebasan asas komuniti berkenaan, selaras dengan pendirian konsisten Malaysia dalam memperjuangkan nasib etnik Rohingya di pelbagai platform antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia menghadiri persidangan itu di Baku yang berakhir kelmarin.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia turut mengalu-alukan memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat dan Iran sebagai langkah menamatkan konflik serta membuka ruang kepada rundingan bagi menyelesaikan isu-isu yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Menurut beliau, persetujuan itu diharap dapat dilaksanakan sepenuhnya demi menjamin keamanan dan kestabilan serantau serta antarabangsa.
“Malaysia sentiasa menyokong penyelesaian konflik melalui dialog dan diplomasi kerana ia merupakan pendekatan terbaik dalam menjamin keamanan berkekalan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Na’im berkata, Malaysia juga berjaya mengetengahkan kepentingan memperkukuh perlindungan hak asasi manusia melalui pendigitalan perkhidmatan awam dan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab.
Katanya, resolusi itu turut menggalakkan kerjasama antarabangsa menerusi perkongsian amalan terbaik dan usaha pembangunan kapasiti bagi memastikan penggunaan AI memberi manfaat kepada masyarakat tanpa menjejaskan hak serta kebebasan rakyat.
“Perkembangan teknologi perlu diseimbangkan dengan prinsip tadbir urus yang baik, perlindungan hak asasi manusia dan kepentingan awam,” katanya.
Persidangan PUIC Ke-20 yang berlangsung di Baku dari 22 hingga 25 Jun lalu menghimpunkan negara-negara anggota OIC bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan keamanan, pembangunan ekonomi, hak asasi manusia, kerjasama serantau serta cabaran global.
Deklarasi Baku yang mengandungi 28 resolusi itu menjadi dokumen rasmi yang menggariskan pendirian bersama negara anggota dalam pelbagai isu antarabangsa, termasuk Palestin, Islamofobia, pembangunan mampan, perubahan iklim, keselamatan makanan, transformasi digital dan kerjasama ekonomi antara negara Islam. – UTUSAN




