mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Yantzen Juniwan, 68, meluahkan rasa gembira apabila lagu Insan yang kini berusia 35 tahun kekal diminati dan popular sehingga kini.
Yantzen berkata, lagu ciptaan Nathan dan lirik oleh Juwie itu dimuatkan dalam album solonya berjudul Lain Dulu Lain Sekarang yang dihasilkan pada 1991.
“Sambutan terhadap lagu ini sebenarnya tidak dijangka. Insan meletup di radio dan dalam rancangan Muzik-Muzik TV3, ia bertahan selama lebih 30 minggu dalam carta.
“Malah, sampai sekarang, apabila saya diundang untuk buat show, lagu ini tetap menjadi lagu permintaan untuk dinyanyikan. Saya ikut saja kehendak mereka kerana liriknya positif,” katanya kepada Harian Metro.
Yantzen berkata, populariti lagu Insan juga berjaya menarik minat sebuah syarikat yang mahu menjadikan lagu terbabit sebagai lagu tema mereka.
“Proses rakamannya dibuat di sebuah studio di Ampang. Lagu ini juga diberikan sedikit perubahan agar lebih segar. Ia akan dikeluarkan menerusi pelbagai platform media sosial apabila siap nanti,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yantzen masih lagi membantu kariah di kediamannya di Taman Sungai Serai Tambahan, Batu 12, Hulu Langat mencari dana untuk pembinaan surau di penempatan itu.
Menurutnya, sejak mendiami perumahan terbabit sekitar 10 tahun lalu, kawasan itu belum mempunyai surau untuk kegunaan penduduk setempat.
“Kos untuk pembinaan dianggarkan sekitar RM150,000. Berapa sumbangan mahu diberi tak kisah, tapi saya nasihatkan penyumbang agar menyertakan nama sebenar bila buat sumbangan,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun RHB 26209000031671 atas nama Persatuan penduduk Kampung Sungai Long.
© New Straits Times Press (M) Bhd




