UiTM bolot kejuaraan mySalam BijakWang Challenge

UiTM bolot kejuaraan mySalam BijakWang Challenge

Kuala Terengganu : Skim perlindungan masyarakat, mySalam, mengambil langkah proaktif memperkasa pengetahuan pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menerusi penganjuran pertandingan BijakWang Challenge.

Ketua Perniagaan Takaful Korporat dan Kumpulan B40 Great Eastern Takaful, Syuhaib Ithnin berkata, pertandingan berbentuk permainan interaktif siri pertama bagi tahun ini bertujuan membantu melahirkan generasi muda yang lebih celik kewangan.

“Cabaran kewangan pada masa ini semakin kompleks namun pendidikan perancangan kewangan masih belum diajar secara meluas di IPT.

“Sehubungan itu, mySalam mengambil pendekatan membantu generasi muda celik kewangan secara interaktif, menyeronokkan dan mudah difahami,” katanya selepas menyaksikan pertandingan BijakWang Challenge yang diadakan sempena Karnival Celik Kewangan Terengganu baru-baru ini.

Pertandingan anjuran mySalam itu diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad dengan kerjasama Financial Education Network (FEN).

Melihat kepada kejayaan edisi Terengganu kali ini, Syuhaib menyatakan hasrat syarikat untuk menganjurkan cabaran tersebut pada skala yang lebih besar melibatkan pelajar IPT di peringkat kebangsaan.

Pada pertandingan itu, pelajar tahun dua Sarjana Muda Pengurusan Pentadbiran Kewangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Rafshan Danish Rushidi, 22, muncul sebagai juara dan membawa pulang ganjaran wang tunai bernilai RM5,000.

Rafshan turut berkongsi pengalamannya dalam pertandingan berkenaan membuka perspektif baharu mengenai kepentingan menguruskan wang.

“Ia menyedarkan saya pengurusan kewangan bukan sekadar teori, tetapi kemahiran hidup yang perlu dipraktikkan sejak muda. Pendekatan pembelajaran melalui permainan menjadikan topik kewangan lebih mudah difahami dan menyeronokkan,” katanya.

Sebagai tanda sokongan terhadap kesedaran kewangan, sebahagian daripada wang kemenangan tersebut iaitu sebanyak RM2,000 akan diserahkan kepada pihak pengurusan UiTM Dungun bagi menjalankan program advokasi kewangan di peringkat kampus.

Dalam perkembangan berkaitan, skim mySalam terus komited dalam menyediakan jaringan keselamatan kewangan kepada masyarakat.

Sehingga 21 Jun lalu, lebih 2 juta penerima telah mendapat manfaat dengan jumlah bayaran tuntutan keseluruhan mencecah RM1.48 bilion.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top