ARAU – Dapatan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin bersatu dan mempunyai semangat kebangsaan lebih kukuh serta keyakinan yang tinggi terhadap sistem dan institusi negara.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim berkata, berdasarkan kajian itu tahap perpaduan rakyat kini berada pada skor 0.701 iaitu tahap sederhana tinggi dan berjaya melepasi sasaran ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).
“Lebih membanggakan skor ini menunjukkan peningkatan yang konsisten berbanding tahun 2018 yang mencatatkan skor 0.567 dan tahun 2022 dengan skor 0.629,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Jelajah Belia Rukun Negara (JBRN) peringkat negeri Perlis 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di sini pada Ahad.
Zulkifli berkata, perpaduan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang kekal terjamin yang perlu terus dipupuk, dipelihara dan diperkasa oleh setiap generasi agar keamanan dan kestabilan negara dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, dalam dunia digital hari ini, media sosial mampu menjadi medium yang menyatukan masyarakat namun jika disalahguna ia juga boleh menjadi saluran penyebaran maklumat palsu, ucapan kebencian, fitnah dan provokasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata, mahasiswa perlu menjadi kelompok yang berfikiran kritis, matang dan bertanggungjawab dalam menilai sesuatu maklumat.
“Jadilah generasi yang menggunakan media sosial untuk menyebarkan mesej perpaduan, menyemai nilai hormat-menghormati dan mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya. – Bernama



