ODISHA – Seorang wanita melecur teruk selepas rumahnya dibakar lelaki yang berang kerana cintanya tidak berbalas.
Kejadian itu menimpa mangsa berusia 26 tahun di sebuah desa di Bisra, Sudargarh di Odisha, India pada Jumaat lalu.
Berdasarkan siasatan awal, suspek didakwa terlalu taasub terhadap mangsa dan bertindak menyerangnya selepas lamaran perkahwinan ditolak.
Polis berkata, mangsa sedang tidur di dalam biliknya ketika suspek dipercayai menyimbah petrol melalui tingkap sebelum menyalakan api dengan niat untuk membunuhnya.
Bapa mangsa, Jena Toppo mendakwa isteri adiknya ternampak suspek yang dikenal pasti sebagai Rajat Kiro berada berhampiran tingkap beberapa saat sebelum kebakaran tercetus.
“Anak saya terus diganggu selepas lamarannya ditolak. Jeritan anak saya telah menyelamatkannya walaupun kira-kira 40 peratus tubuhnya terbakar dan dia kini berada dalam keadaan kritikal,” ujar Toppo.
Difahamkan, suspek telah ditahan sementara siasatan lanjut dijalankan berdasarkan bukti yang diperoleh. – Agensi



