16 warden bekas ATM bertugas di 8 MRSM mulai 1 Julai

16 warden bekas ATM bertugas di 8 MRSM mulai 1 Julai

Kuala Lumpur: Seramai 16 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mula melaporkan diri sebagai warden sepenuh masa di lapan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih bermula Rabu ini.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook berkata, penempatan itu diharap dapat membantu meningkatkan tahap disiplin pelajar selain memastikan tiada lagi kes buli berlaku di institusi pendidikan tersebut.

Beliau berkata, pelaksanaan itu merupakan fasa kedua program pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas anggota tentera selepas projek rintis dilaksanakan di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang bermula 18 Okt tahun lepas.

“Bagi keperluan semasa, jumlah keseluruhan adalah 32 orang warden bagi lapan MRSM iaitu dua lelaki dan dua wanita bagi setiap MRSM. Untuk fasa pertama, 16 warden lelaki akan memulakan tugas pada 1 Julai 2026.

“Bagi calon wanita, 162 orang telah memohon. Ujian secara dalam talian diadakan pada 25 Jun 2026. Tarikh temu duga fizikal calon wanita ialah 2 Julai. Pelantikan warden wanita dijangka menyusul sedikit selepas fasa lelaki, tertakluk kepada penyempurnaan proses tapisan yang sama,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata proses pemilihan warden dilaksanakan secara bersama oleh anak syarikat MARA, Glokal Link Sdn Bhd (GLSB) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), TalentCorp serta Seksyen Psikologi dan Kaunseling ATM.

Beliau berkata, sesi temu duga fizikal telah diadakan pada 15 dan 16 Jun di Institut Kemahiran Tinggi MARA, Kepong, melibatkan 147 calon termasuk 139 calon lelaki yang telah melalui tapisan awal dan tapisan kedua.

“Sebelum calon hadir temu duga, mereka telah melalui tapisan awal oleh JHEV dan TalentCorp. Laluan ini adalah bagi calon veteran ATM yang diiktiraf iaitu mereka yang menamatkan perkhidmatan secara terhormat dan tidak diberhentikan atas alasan salah laku, disiplin berat atau pelanggaran undang-undang yang menjejaskan kelayakan sebagai Veteran ATM,” katanya.

Menurutnya GLSB akan memastikan semua tapisan prapelantikan disempurnakan terlebih dahulu antaranya semakan status veteran ATM, rekod jenayah melalui Polis Diraja Malaysia dan semakan berkaitan pesalah jenayah seksual kanak-kanak sebelum sebarang surat tawaran atau lantikan dikeluarkan.

Pemilihan calon, katanya bukan hanya berasaskan temu duga fizikal sebaliknya turut melalui beberapa peringkat tapisan termasuk ujian psikometrik MyNext OCEAN dan RIASEC, ujian psikologi ketenteraan, saringan kesihatan mental, pemeriksaan indeks jisim badan (BMI), bleep test serta temu duga bersemuka panel pelbagai agensi.

“Sebelum surat tawaran dimuktamadkan, calon akhir juga akan melalui penilaian akhir bersama pegawai psikologi atau kaunselor ATM termasuk komponen penilaian psikologi atau bio maklum balas yang memberi tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak, risiko salah laku seksual, kawalan impuls, batas interaksi warden-pelajar dan kesesuaian psikologi calon untuk ditempatkan di asrama MRSM.

“Prinsip GLSB adalah jelas, tiada surat tawaran atau lantikan akan dikeluarkan selagi semua tapisan penting belum disempurnakan. Hanya calon yang benar-benar layak, bersih, berintegriti dan sesuai menjaga pelajar MRSM akan dipertimbangkan untuk lantikan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, pelaksanaan program itu akan diperluas secara berfasa ke semua 58 MRSM dengan fasa ketiga dijadual bermula pada 1 Jan 2027.

“Secara keseluruhan, MARA akan memastikan hal ini dilaksanakan secara teliti, berintegriti, mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan pelajar MRSM.

“Pendekatan ini diambil bagi memastikan pelantikan warden benar-benar menjawab harapan masyarakat, ibu bapa dan pihak berkepentingan terhadap peranan warden MRSM,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top