Foxborough (Amerika Syarikat): Paraguay mencipta antara kejutan terbesar Piala Dunia 2026 apabila menyingkirkan gergasi Eropah, Jerman menerusi penentuan penalti 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan, awal pagi tadi.
Kemenangan dramatik itu menyaksikan wakil Amerika Selatan berkenaan melangkah ke pusingan 16 terbaik, sekali gus menamatkan rekod sempurna Jerman dalam penentuan penalti di pentas Piala Dunia.
Ia juga menjadi kekalahan pertama Jerman dalam penentuan penalti dalam sejarah penyertaan mereka di Piala Dunia, sekali gus menambah pahit episod penyingkiran juara dunia empat kali itu.
Perlawanan berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan gagal dipisahkan selepas 120 minit permainan sebelum Paraguay mempamerkan ketenangan ketika penentuan sepakan penalti.
Paraguay menyempurnakan empat daripada lima sepakan mereka, manakala Jerman hanya berjaya menjaringkan tiga gol selepas gagal memanfaatkan peluang penting dalam penentuan itu.
Kejayaan itu mengesahkan tempat Paraguay ke kelompok 16 terbaik dan meneruskan kemaraan mereka dalam kempen Piala Dunia 2026, manakala Jerman terpaksa pulang awal selepas dikejutkan oleh pasukan yang turun selaku bukan pilihan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




