'Saddiq akan bebas' – Syed Abdullah

'Saddiq akan bebas' – Syed Abdullah

Putrajaya: “Saddiq akan bebas.”

Itu reaksi abang Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu pempengaruh, Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Space Dollah, sebaik ditanya harapannya terhadap keputusan mahkamah, hari ini.

Syed Abdullah yang dilihat mengenakan kemeja biru dan bersongkok tiba secara bersendirian di Istana Kehakiman di sini, pada jam 8.12 pagi.

Difahamkan ibu bapa mereka, iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, tiba lebih awal iaitu kira-kira jam 7 pagi tadi.

Pagi ini keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan membabitkan empat pertuduhan iaitu pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, bakal diketahui.

Keputusan akhir pagi ini akan menentukan sama ada Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan kekal bebas jika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pendakwaan atau berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan merangkumi Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais, Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq, pada 9 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top