Reformasi undang-undang komersial perkukuh keyakinan pelabur

Reformasi undang-undang komersial perkukuh keyakinan pelabur

yusri.muzamir@bh.com.my

Kuala Lumpur: Proses pembaharuan undang-undang komersial negara dijangka mampu meningkatkan kepastian perundangan, mengurangkan kos transaksi dan pertikaian selain memperkukuh keyakinan pelabur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia juga dijangka mampu menyelaraskan kerangka komersial negara dengan piawaian ASEAN dan global dalam era ekonomi digital.

Beliau berkata, usaha pembaharuan undang-undang melalui kajian menyeluruh terhadap Akta Kontrak 1950 (Akta 136) itu antara lain menjadi langkah strategik kerajaan memurnikan ekosistem perundangan komersial negara.

Bagaimanapun, katanya, cadangan rang undang-undang (RUU) berkenaan disasarkan untuk pembentangan di Dewan Rakyat pada mesyuarat akan datang, tertakluk kepada keputusan Jemaah Menteri.

“Akta 136 yang dahulunya dikenali Ordinan Kontrak 1950 adalah perundangan utama bagi mengawal selia prinsip pembentukan, pelaksanaan dan pembatalan kontrak serta hak dan tanggungjawab pihak berkontrak di negara ini.

“‘Statutory illustration’ dalam Akta 136 ini masih menggunakan unit timbangan gantang, iaitu ukuran sudah lama tidak diguna pakai dalam urus niaga harian rakyat Malaysia.

“Ini sekadar satu petunjuk kecil bagaimana akta berusia lebih 75 tahun ini memerlukan semakan menyeluruh agar selaras realiti perniagaan masa kini,” katanya pada sesi penerangan Laporan Akhir Kajian Pembaharuan Undang-undang Kontrak di Dewan Rakyat hari ini.

Akta 136 mula berkuat kuasa di negeri Tanah Melayu pada 23 Mei 1950, sebelum disemak semula dan pemakaiannya diperluas ke Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, pada 1 Julai 1974.

Sebahagian besar kandungan akta ini diambil daripada Akta Kontrak India 1872, berasaskan prinsip ‘English Common Law’ dan mencatatkan tiga kali pindaan, masing-masing pada 1967, 1974 dan 1976 sejak dikuatkuasakan.

Memperincikan laporan berkenaan, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, Jawatankuasa Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-undang Kontrak menghimpunkan tiga kajian utama.

Beliau berkata, antaranya ialah kajian semakan dan pembaharuan Akta 136 menggariskan cadangan pemodenan bahasa, struktur dan doktrin sedia ada.

Selain itu, katanya, cadangan RUU Kontrak (Hak Pihak Ketiga) bagi mengiktiraf hak pihak ketiga yang tidak pernah diperuntukkan secara jelas dalam Akta 136 sehingga kini.

“Cadangan RUU Agensi bagi menggantikan Bahagian X Akta 136 dengan kerangka agensi lebih moden, termasuk mengambil kira isu baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam urus niaga komersial.

“Ketiga-tiga kajian ini berbeza dari segi skop, tetapi saling berkait dan disusun bersama dalam laporan akhir bagi memberi gambaran menyeluruh kepada Ahli Parlimen mengenai hala tuju pembaharuan undang-undang kontrak negara secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri bakal menganjurkan sesi taklimatkhas kepada semua Ahli Parlimen memandangkan skop dan kedalaman teknikal kajian berkenaan.

“Taklimat ini bertujuan memberi ruang kepada Ahli Parlimen mendapatkan penjelasan lanjut daripada ahli jawatankuasa dengan tarikh akan dimaklumkan kelak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top