Dari Sarawak ke seluruh negara, TVS kini bukan lagi sekadar stesen televisyen wilayah, sebaliknya berkembang sebagai platform kandungan digital dan penyiaran yang semakin mendapat perhatian di peringkat nasional.
TVS yang kini boleh ditonton di Astro, Unifi TV dan MYTV Saluran 122 selain distrim secara langsung menerusi aplikasi TVS INSPIRE, terus memperluas jangkauan penyiarannya dengan pelbagai kandungan merangkumi berita, hiburan, drama premium serta program gaya hidup untuk rakyat Malaysia.
Perkembangan itu turut disokong prestasi tontonan memberangsangkan apabila TVS merekodkan 93.1 juta tontonan televisyen, 12.1 juta penonton unik serta 403 juta tontonan di media sosial bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Pencapaian itu mencerminkan peningkatan ketara dalam capaian audiens, seiring usaha TVS memperkukuh kedudukannya sebagai platform kandungan yang lebih meluas dan relevan.
Selain hiburan, TVS menampilkan ekosistem kandungan yang lengkap merangkumi berita, hal ehwal semasa, dokumentari budaya, rancangan wanita serta majalah perniagaan.
Antara rancangan utama ialah Dialog TVS dan Decimal Point. Program-program ini menawarkan perbincangan dasar bertaraf tinggi serta analisis ekonomi yang mendalam dan analitikal untuk penonton termasuk golongan profesional.
Dari segi berita, TVS mengekalkan pendekatan inklusif menerusi siaran dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Inggeris, Iban dan Mandarin.
TVS turut melakar sejarah sebagai satu-satunya stesen di negara ini yang menyiarkan slot berita dalam bahasa Iban, sekali gus meraikan kepelbagaian dan identiti budaya Sarawak.
Bagi peminat drama tempatan, TVS terus memperkasakan Slot Dramatika dengan barisan drama premium yang dijadualkan bersiaran secara berterusan sehingga Disember 2026.
Ia diterajui drama aksi kepolisian Gerak Khas 2.0 yang bermula pada 3 Julai ini, setiap Jumaat jam 8:30 malam.

Menariknya, naskhah ikonik arahan Datuk Dr Yusof Haslam ini bukan sahaja menampilkan bintang besar seperti Erra Fazira dan Hans Isaac, malah turut menampilkan bakat-bakat segar dari Sarawak untuk julung kalinya.
Menyusul selepas itu, siri drama hebat lain seperti Siti in The City, Hilang, Jendela Hati, Anggun Mikayla, Crawling, Halalkan Aku dan The Trap: Unit Khas Siber.
Untuk tontonan alternatif secara penstriman digital, penonton boleh memuat turun aplikasi TVS Inspire atau layari www.tvsarawak.my serta ikuti akaun media sosial rasmi @tvsarawak dan @tvs_entertainment.
© New Straits Times Press (M) Bhd




