am@hmetro.com.my
Seberang Perai: Kira-kira 1,500 pengunjung membanjiri Dataran Sungai Muda bagi menjayakan Program Kembara Antidadah: Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Seberang Perai Utara yang membawa tema ‘Satu Langkah Jelajah, Sejuta Harapan Tanpa Dadah’.
Program anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu adalah kesinambungan usaha memperkukuhkan agenda pencegahan sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 dengan pendekatan yang lebih santai, mesra komuniti dan inklusif.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zainol.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah AADK Negeri Pulau Pinang, Roswati Apin serta Presiden SKUAD Antidadah Kebangsaan, Shukri Che Wang.
Dalam ucapan aluannya, Shobah berkata ancaman dadah masih menjadi cabaran besar yang mampu merosakkan individu, menghancurkan institusi keluarga serta menjejaskan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.
Menurut beliau, program jelajah seperti ini menjadi platform penting untuk mendekati masyarakat secara langsung melalui pendekatan yang lebih berimpak tinggi, di samping memperkukuhkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat dalam usaha membina masyarakat yang bebas daripada dadah.
Beliau berkata, tema “Satu Langkah Jelajah, Sejuta Harapan Tanpa Dadah” melambangkan komitmen bersama dalam menyebarkan mesej kesedaran, memperkukuh komuniti serta menyemai harapan kepada generasi masa depan supaya membesar dalam persekitaran yang bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Tambah beliau, AADK akan terus komited melaksanakan pelbagai strategi berteraskan pendidikan pencegahan, rawatan, pemulihan dan pengintegrasian semula klien.
Namun kejayaan usaha itu memerlukan sokongan padu semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan, majikan, pemimpin masyarakat serta komuniti.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan menyampaikan maklumat yang tepat mengenai bahaya dadah, mengenal pasti golongan berisiko serta membantu mereka mendapatkan intervensi yang sewajarnya demi melahirkan generasi yang lebih sihat dan bebas daripada pengaruh dadah.
Sepanjang program berlangsung, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Fun Ride 18 kilometer, Pocket Talk, pameran jabatan dan agensi, pesta durian, gunting rambut percuma, sukan rakyat serta pertandingan mewarna yang mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat.
Kehadiran kira-kira 1,500 pengunjung membuktikan usaha mendekati masyarakat melalui pendekatan komuniti terus mendapat sokongan, sekali gus mengukuhkan mesej bahawa usaha membanteras penyalahgunaan dadah merupakan tanggungjawab bersama dalam merealisasikan aspirasi Malaysia bebas dadah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




