Rosmah dibenar tangguh rayuan kes solar, panel tidak berkompromi lagi selepas ini

Rosmah dibenar tangguh rayuan kes solar, panel tidak berkompromi lagi selepas ini

ajohari@bh.com.my

Putrajaya: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kes rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.

Isteri bekas Perdana Menteri itu memohon rayuan berkenaan ditangguhkan sehingga permohonan semakannya untuk menyingkirkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mensabitkannya sebelum ini diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Rosmah memberikan alasan, Mohamed Zaini melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa deraf penghakiman yang bocor telah disediakan Unit Penyelidikan Mahkamah Kuala Lumpur untuk hakim itu menyampaikan keputusan pada 1 September 2022.

Dalam prosiding hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli membenarkan penangguhan, tetapi mengingatkan bahawa mahkamah tidak akan berkompromi dengan sebarang penangguhan lagi.

Panel itu berpendapat, surat daripada Presiden Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan bagi rayuan utama, sehingga permohonan untuk menyingkirkan Mohamed Zaini diputuskan, adakah juga termasuk sehingga permohonan semakan bagi perkara sama, didengar dan diputuskan.

Sehubungan itu, panel yang turut dianggotai Datuk Dr Choo Kah Sing dan K Muniandy menangguhkan pendengaran rayuan yang sepatutnya bermula pada hari ini, kepada 1 September ini selama 16 hari.

Azhahari, ketika membenarkan penangguhan yang dicapai secara sebulat suara berkata, walaupun mahkamah bersedia untuk membenarkan penangguhan itu, ia mengingatkan tidak akan membenarkan permohonan sama selepas ini.

Katanya, ia adalah kerana rayuan itu sudah berlarutan sejak 2022 dan menegaskan, mahkamah tidak akan berkompromi dengan tarikh pendengaran baharu yang sudah ditetapkan.

“Kami berpandangan surat jawapan Presiden Mahkamah Rayuan (kepada perayu) bertarikh 10 Oktober 2024 perlu ditafsirkan bahawa rayuan utama perlu ditangguhkan sehingga permohonan untuk mengugurkan hakim itu telah menggunakan segala saluran yang ada termasuk permohonan semakan.

“Alasan ini termasuk keadaan peguam bersama (Datuk Akberdin Abdul Kader ) yang sedang menjalani dugaan yang amat besar dalam hidupnya, oleh itu kami benarkan penangguhan ini.

“Oleh kerana kes ini sudah berlanjutan daripada 2022, kami tidak akan berkompromi dengan tarikh baharu yang kami akan tetapkan. Tiada lagi penangguhan akan diberikan dan kami serius dengan perkara ini,” katanya.

Sementara itu, permohonan semakan Rosmah untuk menyingkirkan Mohamed Zaini dijadualkan untuk pendengaran di Mahkamah Persekutuan pada 29 Julai ini.

Mahkamah terdahulu diselubungi suasana penuh emosi apabila peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh menangis teresak-esak ketika mengemukakan alasan mengapa pihaknya memohon penangguhan.

Jagjit yang tidak menahan rasa sedihnya memberitahu mahkamah, bahawa peguam bersama, Akberdin masih berdepan perasaan sedih yang mendalam berikutan kehilangan anak lelakinya, Adli Hakim yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua bulan lalu.

“Beliau (Akberdin) umpama adik saya sendiri,” katanya.

Peguam kanan itu berkata Akberdin yang kini masih bercuti sudah menyediakan sebahagian besar hujahan bertulis dan kehadirannya amat penting bagi pendengaran rayuan berkenaan.

“Beliau masih dalam kesedihan dan berkabung. Kami berharap pihak pendakwaan dapat memahami keadaan ini,” kata Jagjit dengan suara yang tersekat-sekat menahan sebak.

Anak Akberdin, Adli Hakim, 24, seorang pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), adalah antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori simen di Kilometer 34, Lebuhraya Karak pada 22 Mei lalu.

Akberdin berkata, pada 9 Oktober 2024, pihaknya menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan rayuan kes rasuah itu sehingga rayuan berhubung permohonan menggugurkan hakim selesai.

Beliau berkata, pada 10 Oktober 2024, Presiden Mahkamah Rayuan telah membalas dan membenarkan rayuan ditangguhkan sehingga rayuan berhubung permohonan menggugurkan hakim seleai sepenuhnya.

Katanya, ketika ini, semakan terhadap permohon itu akan didengar 29 Julai ini.

Jagjit turut memaklumkan bahawa permohonan semakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Rosmah untuk menyingkirkan Mohamed Zaini

turut menjadi antara faktor utama permohonan penangguhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai sementara itu, berkata pihak pendakwaan telah diarahkan untuk membantah permohonan penangguhan itu dengan alasan rayuan telah tertangguh di Mahkamah Rayuan sejak 2023.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah.

Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini atas alasan tiada kekhilafan yang berlaku sehingga mewajarkan campur tangan mahkamah.

Pada 1 September 2022, Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas mendapati Rosmah bersalah atas pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Beliau turut memerintahkan agar Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Mohamed Zaini mensabitkan Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan membantu syarikat itu memperoleh projek solar berkenaan.

Beliau juga didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016 dan RM1.5 juta daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top