Sungai Buloh : Persiapan konsert maestro muzik, Datuk M Nasir iaitu Datuk M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena di sini, Sabtu ini, kini pada fasa akhir.
M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed Sam, 69, berkata persiapan hampir 100 peratus selepas beberapa minggu menjalani latihan.
“Kami mula berlatih sejak beberapa minggu lalu dan banyak perkara sudah diselesaikan. Mengenai keterujaan, jangan cakaplah. Sebagai penghibur, kita perlu sentiasa bersedia.
“Kalau ada elemen yang belum lengkap, kita akan usahakan supaya ia menjadi sebahagian daripada persembahan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
M Nasir berkata, pemilihan lagu dibuat berdasarkan keseimbangan antara kehendak peminat dan konsep keseluruhan konsert.
Sementara itu, Datuk Awie yang bakal berkongsi pentas bersama M Nasir menyifatkan peluang beraksi bersama sebagai sesuatu yang amat bermakna. Baginya, M Nasir banyak membentuk perjalanan awal kerjaya seninya.
Menurut Awie, antara momen yang paling dinantikan ialah peluang menyanyikan semula lagu Istana Menanti bersama penciptanya selepas sekian lama.
“Semestinya saya sangat teruja apabila dijemput menjayakan konsert figura legenda yang juga guru pertama mengajar saya menyanyi pada era 1980-an.
“Kemudian saya berpeluang menyanyikan semula lagu yang asalnya dicipta untuk saya iaitu Istana Menanti. Namun, akhirnya lagu itu diberikan kepada penyanyi lain kerana dalam album berkenaan tiada lagu yang benar-benar menjadi hit.
“Jadi, kali ini saya ‘buruk siku’ sedikit apabila dapat menyanyikan semula lagu itu bersama penciptanya sendiri,” katanya berseloroh.
Awie sengaja memilih untuk membawakan karya yang bukan miliknya bagi memberikan pengalaman baharu kepada penonton.
“Saya tidak mahu menyanyikan lagu yang sudah biasa saya nyanyikan. Jadi, saya beritahu saya mahu membawakan lagu orang lain. Lagu saya sudah biasa didengar, jadi, saya mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza serta menyumbang kepada konsep persembahan M Nasir.
“Saya akan bawa lagu itu dengan cara dan aura saya sendiri sambil sesuaikan diri dengan konsep persembahan. Apa yang kami lakukan sekarang mungkin berubah mengikut kesesuaian,” katanya.
Awie berkata, keistimewaan konsert itu terletak kepada pendekatan baharu terhadap karya popular M Nasir yang akan memberi pengalaman berbeza kepada penonton.
“Kalau saya peminat muzik atau suka M Nasir, saya pasti datang kerana lagu-lagu hit beliau terlalu banyak.
“Apa yang menarik ialah bagaimana lagu-lagu itu dipersembahkan pada malam itu. Ia bukan seperti yang kita dengar dalam rakaman asal kerana akan ada gaya penyampaian, susunan muzik dan interpretasi ybaharu,” katanya.
Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 anjuran Icon Entertainment dipentaskan di Unifi Arena, sempena sambutan ulang tahun kelahiran maestro muzik itu.
Pada konsert bertemakan Batik Injection itu, M Nasir dijangka mempersembahkan antara 30 hingga 40 lagu termasuk beberapa medley.
© New Straits Times Press (M) Bhd




