Mio kekal bersama NSFC musim depan

Mio kekal bersama NSFC musim depan

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Selepas beraksi cemerlang secara pinjaman musim lalu, khidmat Mio Tsuneyasu terus mendapat kepercayaan Negeri Sembilan FC (NSFC) dikekalkan bagi menghadapi kempen Liga Super musim 2026/2027.

Perkembangan itu menyaksikan lima pemain import musim lalu dikekalkan kelab terbabit setakat ini selepas empat lagi pemain berkenaan lain sudah menandatangani kontrak baharu sebelum ini.

Mereka membabitkan penyerang dari Bosnia & Herzegovina, Jovan Motika dan tiga pemain dari Jepun iaitu Takumi Sasaki (penyerang), Kei Oshiro (tengah) dan Yuichi Hirano (tengah).

“Kami mengekalkan khidmat Mio dalam pasukan untuk menghadapi musim baharu 2026/2027 kerana menerusi lima jaringannya musim lalu, sentuhan berbisa pemain Jepun ini pastinya akan terus ditagih.

“Kami berharap Mio dapat terus memberikan sumbangan terbaik dalam memacu kejayaan lebih cemerlang kepada NSFC,” kata jurucakap kelab itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemain berusia 23 tahun itu dibawa masuk secara pinjaman ke NSFC dari kelab J3 Jepun, Gainare Tottori ketika skuad Hobin Jang Hobin dibimbing Nidzam Jamil.

Sementara itu, khidmat 11 pemain tempatan yang beraksi dengan NSFC pada musim lalu berakhir selepas kontrak mereka tidak diperbaharui.

Mereka membabitkan Muhammad Hadin Azman, Harith Samsuri, Anwar Ibrahim, Zahril Azri, Azrin Afiq, Hariz Kamaruddin, Noor Aidil Zailani, Noor Adha Zailani, Zaim Iqbal Zulkarnain, S Vimalnair dan H Thigarajah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top