Cendol Meleleh dua gadis kudung kaki cetus fenomena

Cendol Meleleh dua gadis kudung kaki cetus fenomena

​TEMERLOH: Perniagaan Cendol Meleleh diusahakan dua beradik orang kurang upaya (OKU) di Kampung Lebak di sini, mencetuskan fenomena apabila diserbu lebih 1,000 pelanggan selepas kisah ketabahan mereka yang masing-masing kehilangan kaki kanan akibat kemalangan tular dalam media sosial.

Kehadiran pelanggan luar biasa itu memberi nafas baharu kepada perniagaan Nik Haznita Saffiya Nik Husmadi, 20, dan adiknya, Nik Haziera Saffiya, 18, yang sebelum ini sekadar membuka gerai kecil bagi membantu keluarga yang bergantung hidup sebagai nelayan sungai.

​Tinjauan di lokasi mendapati, orang ramai termasuk dari luar daerah, sanggup beratur panjang untuk merasai keunikan pemanis mulut tersebut, semata-mata memberikan so­kongan moral kepada mereka.

Nik Haziera berkata, mereka terharu dengan sambutan luar biasa itu dan tidak me­nyangka kisah perjuangan hidup me­reka mendapat perhatian masyarakat.

​“Sejak tular, pelanggan datang tanpa henti. Ramai yang datang bukan sahaja mahu menikmati cendol, malah memberikan kata-kata sema­ngat dan mendoakan kejayaan kami,” katanya ditemui Utusan Malaysia di Kampung Lebak.

Bagi memenuhi lonjakan permintaan, bekalan bahan mentah ditambah beberapa kali bagi mengelakkan pelanggan pulang dengan hampa.

Dua beradik ini ​terlibat kemalangan pada 7 Februari 2024 yang mengakibatkan kehila­ngan kaki kanan.

​Dalam kejadian itu, motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang membeli kek tapak kuda, menyebabkan kaki kanan kakaknya terpaksa dipotong serta-merta.

​Nasib sama menimpa Nik Haziera setahun kemudian apabila kaki kanannya turut terpaksa dipotong ekoran komplikasi kerosakan saraf serius, impak kemalangan ber­kenaan.

​“Kecacatan tidak mematahkan semangat kami untuk bangkit membina kehidupan baharu menerusi perniagaan yang baru diusahakan beberapa bulan lalu,” katanya.

Dua beradik ini menyasarkan untuk membuka sebuah premis perniagaan lebih selesa demi menampung jumlah pe­langgan yang meningkat, selain memperluas empayar perniagaan mereka.

​Cendol Meleleh memiliki keunikan rasa yang tersendiri kerana menggunakan cendol buatan sendiri, santan sawit, dan gabungan istimewa gula kabung, gula merah dan gula pasir. – UTUSAN

Scroll to Top