norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 47, menuai pujian ramai warganet di Threads apabila menyuarakan pandangannya mengenai ucapan selamat hari jadi yang diharap oleh anak-anak diterima daripada ibu bapa.
Siti menerusi hantaran dimuatnaik di media sosialnya menyarankan agar anak yang meraikan hari jadi supaya menghubungi ibu bapa untuk ucap terima kasih kerana sudah melahirkan serta membesarkan dengan penuh kasih sayang.
“Salam dik, akak nak ‘share’ (kongsi) satu, selalunya kita memang harap orang beri ucapan ‘birthday’ (selamat hari jadi) pada kita terutama sekali ibu bapa. Tapi, boleh tak kita tukar persepsi itu.
“Bila hari lahir, kita yang sepatutnya ‘call’ (hubungi) ayah dan ibu ucapkan terima kasih sebab dah lahirkan dan besarkan kita dengan baik. Sebab tanpa mereka, kita tak berada di dunia ini.
“Kita yang patut hadiahkan mereka. Semoga apa yang akak kongsi ini, tak menyinggung perasaan ye..Selamat Hari Lahir dik,” tulisnya pada hantaran sangat bermakna, terbaik dan positif itu.
Meninjau pada ruangan komen ditulis netizen, rata-rata ramai bersetuju terhadap pandangan dikongsikan oleh Siti dan memuji tindakannya yang menulis menggunakan susunan bahasa yang baik, sopan dan tersusun.
“Algoritma Tok Ti bukan makanan dah..bugus komen positif macam ini,” komen netizen.
“Tok Ti dah komen, terbaik. Halus betul bahasanya,” kata seorang warga maya.
“Bagus sangat tu.. kita pula ucap terima kasih pada mak dan ayah,” tulis warganet.
“Terima kasih mama, papa, ibu, ayah, umi, abi, mommy, daddy, bonda, ayahanda,” ujar pengguna media sosial.
Siti yang juga ibu kepada dua cahaya mata didapati aktif di media sosial membuat hantaran perkongsian mengenai aktiviti seninya dan beliau juga dilihat bersikap terbuka dan positif menulis komen buat tatapan warga maya untuk berkongsi pandangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




