SHAH ALAM – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook tidak sepatutnya mewujudkan persepsi seolah-olah hanya Pas memutuskan untuk tidak bertanding di kawasan ditandingi DAP dan majoriti masyarakat Cina, sedangkan parti itu juga memilih untuk bertanding di kerusi yang menjadi kekuatan politiknya sahaja.
Pemimpin Muda Pas Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, sekiranya Anthony benar-benar ingin menguji prinsip dan keberanian politik, beliau perlu bersedia untuk bertanding di kawasan yang didiami majoriti kaum Melayu seperti Shah Alam atau Kuala Selangor.
Menurut Muhamad Muqharabbin, persoalan yang dilontarkan terhadap Pas wajar turut diajukan kepada DAP.
“Apa kata DAP bertanding di semua kawasan masyarakat Melayu dan Parti Amanah Negara (Amanah) pula di semua kawasan kaum Cina?
“Adakah DAP juga bersedia meletakkan pemimpin utamanya bertanding di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu? Hakikatnya, parti politik menyusun strategi berdasarkan kekuatan organisasi, penerimaan rakyat dan realiti demografi pengundi.
“Prinsip ini bukan sahaja diamalkan Pas, malah turut dipraktikkan oleh semua parti politik termasuk DAP,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Media pada Rabu melaporkan Anthony mendakwa Pas gentar untuk bersemuka dengan DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memilih bergantung kepada ‘proksi’ iaitu Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Seremban itu menambah, keputusan Pas tidak meletakkan calon di kawasan ditandingi DAP menjadi sebahagian strategi menyatukan undi bagi calon BN, terutamanya daripada MCA.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan menyifatkan Pas sebagai tidak berprinsip kerana menyeru penyokong untuk menyokong BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Susulan itu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa keputusan parti tidak meletakkan calon di beberapa kerusi bukan majoriti Melayu di Johor dibuat berdasarkan penilaian terhadap peluang kemenangan, bukan kerana takut berdepan dengan DAP.
Tegasnya, pemilihan kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor berdasarkan komposisi pengundi, kekuatan calon dan potensi kemenangan selaras dengan matlamat utama setiap parti untuk meraih kemenangan.



