Yamal utamakan kemenangan Sepanyol

Yamal utamakan kemenangan Sepanyol

LOS ANGELES: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal mengakui sedikit kecewa kerana gagal mencatat nama sebagai penjaring atau mencipta bantuan gol ketika membantu pasukannya menewaskan Austria 3-0 pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, semalam.

Bagaimanapun, Yamal yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan itu menegaskan, kemenangan dan kejayaan mara ke pusingan seterusnya jauh lebih penting berbanding pencapaian peribadi.

“Saya cuma kurang satu gol atau satu bantuan jaringan. Namun, selagi kami menang dan layak ke pusingan seterusnya, itulah perkara paling penting,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Los Angeles.

Mengulas reaksinya yang dilihat kurang ceria selepas tamat perlawanan, pemain Barcelona itu menjelaskan dia sebenarnya gembira, namun kini lebih memberi tumpuan kepada cabaran seterusnya.

“Saya benar-benar gembira. Perlawanan ini sudah berakhir dan kini kami perlu memikirkan aksi berikutnya.

“Saya juga amat menghargai sokongan yang diberikan kepada saya di setiap stadium. Ia memberi motivasi tambahan setiap kali saya turun beraksi,” katanya.

Yamal, yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-19 pada 13 Julai ini, turut menegaskan impian terbesarnya adalah menjulang trofi Piala Dunia bersama Sepanyol pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di New Jersey pada 19 Julai.

“Tiada kejohanan yang lebih hebat daripada Piala Dunia. Sejak kecil, setiap pemain bola sepak mengimpikan untuk beraksi di pentas ini. Saya mahu terus mara dan memenangi Piala Dunia bersama Sepanyol.

“Kami tidak takut kepada mana-mana pasukan. Kami ialah Sepanyol dan kami perlu membuktikannya di atas padang,” katanya.

Dalam pada itu, Yamal mengakui tersentuh apabila ditunjukkan rakaman video adiknya yang berusia tiga tahun meraikan kemenangan Sepanyol bersama keluarga di tempat duduk penonton.

“Ia menyentuh hati saya melihat adik, ibu dan rakan-rakan saya gembira. Adik saya seperti anak saya sendiri dan saya amat menyayanginya,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Sepanyol, Unai Simon menyifatkan pasukannya hampir mempamerkan aksi sempurna selepas menguasai permainan bermula pada minit ke-20 sehingga wisel penamat.

“Kami perlu mengekalkan tahap permainan seperti ini jika mahu terus mara dalam kejohanan ini,” katanya.

Kemenangan ke atas Austria itu juga menyaksikan Sepanyol mencatat empat perlawanan berturut-turut tanpa dibolosi sekali gus masih mengekalkan rekod bersih sepanjang kempen Piala Dunia kali ini. – AFP

Scroll to Top