SEREMBAN – “Saya nak beritahu Anthony Loke, alamat kad pengenalan saya adalah di Negeri Sembilan iaitu di Taman Seremban Jaya, Seremban,”
Demikian reaksi ahli perniagaan Albert Tei bagi menjawab kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang memintanya menukar alamat terlebih dahulu sekiranya mahu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Albert atau nama sebenarnya Tei Jiaan Chewing, 37 berkata, Anthony sepatutnya membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Lain kali jika mahu keluar kenyataan, semak dulu jangan suka-suka menuduh.
“Alamat saya memang di Negeri Sembilan. Saya tak tahu dari mana dia dapat maklumat. Lain kali semak dulu sebelum berucap,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.
Beliau secara sindiran turut mengingatkan Menteri Pengangkutan itu supaya tidak ‘lari’ ke Dewan Undangan Negeri (DUN) lain apabila tiba waktu pilihan raya.
“Jangan lari ya. Saya akan bawa sentimen yang berlaku di Sabah ke sini kerana saya antara yang menyebabkan DAP kalah 8-0 dalam PRN Sabah tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan berminat menyertai parti daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) dan telah pun berbincang dengan pucuk pimpinan.
“Saya ini masih ‘anak dara’ dalam politik. Terpulang kepada pihak pucuk pimpinan untuk tentukan, tapi saya difahamkan mereka menyokong saya.
“Dalam masa terdekat saya akan mengesahkan perkara ini. Tapi saya sudah bersedia bertanding di DUN Chennah,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Albert tidak menolak untuk bertanding PRN Negeri Sembilan kerana rakan-rakan dan pengikutnya di media sosial mengharapkan demikian.
Beliau turut menyasarkan untuk bertanding di kerusi DUN Chennah yang kini disandang oleh Anthony.



