JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan pengurangan sehingga 50 peratus masa menunggu di pintu masuk Malaysia-Singapura menerusi pelaksanaan Agenda Johor-Singapura yang memberi tumpuan kepada integrasi sistem pengangkutan, penggunaan teknologi pintar dan pengurusan sempadan yang lebih cekap.
Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, agenda itu akan diperkukuhkan melalui penyepaduan RTS, ETS, Bas.My, KTM Komuter Selatan serta sistem pengangkutan negeri bagi membentuk rangkaian mobiliti yang lebih lancar untuk pengguna rentas sempadan.
Menurut beliau, pelaksanaan Kod QR, penambahan lorong pemeriksaan automatik (Autogate) serta penggunaan teknologi terkini oleh kerajaan Persekutuan sejak 2024 telah menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan kesesakan di pintu sempadan.
“Usaha ini akan diteruskan dengan penggunaan teknologi seperti pengecaman wajah (facial recognition) bagi mempercepatkan proses pelepasan di pintu masuk, sekali gus mengurangkan masa menunggu pengembara harian.
“Matlamat kita ialah mewujudkan sistem pengurusan sempadan yang selamat, cekap dan bertaraf antarabangsa, selain memastikan kelancaran aliran trafik di kawasan bandar dan sempadan,” katanya ketika membentangkan Manifesto Pakatan Harapan (PH) Johor di sini pada Jumaat
Hadir sama, Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR; Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang; Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh; Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan
Calon PH bagi DUN Stulang itu menambah, PH turut merancang memperkenalkan rangkaian bas pengantara (feeder) ke RTS dari Skudai, Kulai, Kempas dan Pasir Gudang bagi meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan perumahan dengan hab pengangkutan utama.
“Perhubungan ini penting bagi memudahkan pergerakan pekerja rentas sempadan, selain memberi manfaat kepada rakyat Johor, warga Singapura serta pelancong antarabangsa yang menggunakan pintu sempadan setiap hari.
“Apabila pergerakan menjadi lebih lancar, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah mengukuhkan aktiviti ekonomi dan perniagaan di Johor,” katanya.
Andrew berkata, kejayaan agenda itu bergantung kepada kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan perancangan pengangkutan serta pembangunan ekonomi sempadan Malaysia-Singapura dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
“Kerjasama yang ikhlas, berkesan dan berpanjangan antara kerajaan negeri dan Persekutuan adalah kunci kejayaan. Apabila kedua-duanya bergerak seiring, agenda ini dapat dilaksanakan pada tahap yang optimum,” katanya.



