Kawalan ketat menjelang pengebumian Ali Khamenei

Kawalan ketat menjelang pengebumian Ali Khamenei

Tehran: Puluhan petugas bertungkus-lumus di bawah cuaca panas ekstrem di pintu masuk sebuah kompleks keagamaan besar bagi membuat persiapan majlis pengebumian Ayatollah Ali Khamenei yang dijadualkan bermula pada Sabtu.

Pasukan keselamatan berada dalam kesiapsiagaan tinggi menjelang upacara pengebumian pemimpin Iran yang memerintah selama tiga dekad itu dengan puluhan anggota ditempatkan di pintu masuk utama Grand Mosalla bagi menjalankan pemeriksaan ke atas setiap kenderaan secara sistematik.

Penumpang diwajibkan mengemukakan permit khas untuk memasuki kawasan berkenaan yang masih belum dibuka kepada orang awam itu, namun AFP memperoleh akses khas pada Khamis ketika sebilangan orang awam dilihat menyaksikan persiapan dari luar kompleks.

Di dalam kawasan itu, dinding dihiasi potret besar mendiang Khamenei bersama bendera hitam tanda berkabung serta bendera merah yang melambangkan syahid dan tuntutan balas dendam.

Dalam salah satu gambar, Khamenei yang ketika itu memegang jawatan presiden kelihatan bersama pejuang muda semasa perang Iran-Iraq sekitar 1980-an.

Petugas di lokasi, Hossein Moghadassi berkata, mereka sedang menanam bunga dan menyiram pokok renek bagi upacara perpisahan pemimpin itu sambal memakai pelitup muka berikutan suhu dijangka melebihi 35 darjah Celsius pada Sabtu iaitu hari pertama daripada enam hari berkabung nasional.

“Orang ramai akan datang dari seluruh Iran dan kawasan ini bakal dipenuhi perhimpunan besar-besaran,” katanya sambil memaklumkan trak-trak turut dilihat mengangkut ratusan kotak air minuman ke lokasi berkenaan.

Pihak berkuasa menjangkakan antara 15 hingga 20 juta orang akan menghadiri majlis pengebumian itu di kawasan berkenaan sahaja dengan pintu pagar Grand Mosalla dijadualkan dibuka pada 6 pagi Sabtu.

Di dalam premis itu, puluhan ambulans dan kenderaan penyelamat sudah ditempatkan sebagai persediaan bagi upacara pengebumian pemimpin tertinggi itu yang terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel pada 28 Februari lalu.

Kain rentang hitam yang memaparkan petikan kata-kata terkenal Khamenei di pasang di seluruh kawasan, manakala imej mendiang pemimpin itu dengan penumbuk diangkat, simbol penentangan terhadap Barat turut kelihatan di pelbagai lokasi di tapak berkenaan.

Bangunan utama Mosalla iaitu sebuah masjid akan menempatkan jenazah pemimpin tertinggi itu selama tiga hari untuk kunjungan orang ramai sebelum perarakan pengebumian bergerak melalui jalan-jalan di ibu negara pada Isnin dan tiba di bandar suci Syiah, Qom pada Selasa.

Khamenei akan dikebumikan pada 9 Julai di Mashhad di timur laut Iran iaitu sebuah lagi bandar suci yang juga tempat kelahiran mendiang pemimpin berkenaan.

Ketua perunding Iran dalam rundingan dengan AS yang juga Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf pada Khamis menyeru kehadiran besar-besaran rakyat sebagai cara untuk membalas kematian Khamenei.

“Saya menjemput seluruh rakyat Iran untuk menulis lembaran sejarah yang gemilang melalui kehadiran anda kerana seruan balas dendam negara mesti didengari di telinga seluruh dunia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top