Kanak-kanak Palestin maut dalam serangan dron Israel di Gaza

Kanak-kanak Palestin maut dalam serangan dron Israel di Gaza

BANDAR GAZA – Seorang kanak-kanak Palestin maut manakala seorang lagi cedera pada Jumaat selepas dron Israel menggugurkan bom ke arah mereka ketika sedang mengambil air di timur Bandar Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut kenyataan Pertahanan Awam Gaza, “seorang kanak-kanak maut dan seorang lagi cedera selepas dron jenis quadcopter Israel menggugurkan bom ke arah mereka ketika mangsa sedang mengisi air di belakang Masjid Al-Omari di timur Bandar Gaza.”

Ramai penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat kediaman mereka dimusnahkan Israel kini bergantung kepada khemah dan pusat perlindungan yang tidak mempunyai rangkaian bekalan air tetap, menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bekalan air dari pusat agihan awam dan tangki air, yang ada kalanya terletak jauh dari tempat tinggal mereka.

Serangan itu berlaku ketika Israel terus didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata yang diumumkan pada 10 Oktober 2025.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, pelanggaran perjanjian itu telah mengorbankan 1,059 rakyat Palestin dan mencederakan 3,429 yang lain.

Sejak bermulanya genosid di Gaza pada 8 Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 173,000 lagi cedera, manakala kemusnahan meluas menjejaskan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam. – Bernama-Anadolu

 

 

 

 

Scroll to Top