nuratikah@bh.com.my
Kota Tinggi: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 305 aduan membabitkan pelbagai kesalahan berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, setakat semalam.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata daripada jumlah itu, kesalahan paling banyak dikesan ialah pemasangan bahan kempen di kawasan larangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan 140 kes.
“Ia diikuti pemasangan bahan kempen yang menghalang pandangan pengguna jalan raya dan lalu lintas sebanyak 90 kes, kempen didapati berada di dalam kawasan 50 meter daripada pusat mengundi sebanyak 27 kesalahan.
“Sebanyak 48 lagi adalah di bawah kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, SPR turut menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau perjalanan kempen PRN Johor Ke-16 serta menguatkuasakan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh berkempen.
“Tempoh berkempen bermula selepas hari penamaan calon pada 27 Julai lalu dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 10 Julai ini seperti yang ditetapkan SPR.
“SPR sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan aktiviti berkempen berjalan dalam keadaan baik serta terkawal,” katanya.
Susulan itu, beliau mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika serta arahan yang dikeluarkan SPR dan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan kempen pilihan raya berlangsung dengan lancar.
“SPR amat komited dalam melaksanakan pilihan raya yang cekap, adil dan telus serta berintegriti termasuk sepanjang tempoh berkempen pilihan raya ini berlangsung,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, dan pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




