Houston: Pengendali Kanada, Jesse Marsch mengakui pasukannya perlu memanfaatkan setiap kelebihan yang ada menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Maghribi di Houston, Ahad ini, termasuk menentukan peranan terbaik buat kapten, Alphonso Davies.
Bek kiri Bayern Munich itu kembali beraksi buat kali pertama sejak mengalami kecederaan hamstring pada awal Mei lalu apabila diturunkan selama 15 minit ketika kemenangan 1-0 ke atas Afrika Selatan pada aksi sebelumnya.
Dalam penampilan itu Davies segera memberi impak dengan mencipta peluang buat Promise David, sekali gus meningkatkan keyakinan Kanada.
“Saya rasa dia memberi impak yang baik dalam perlawanan itu. Lebih penting, anda boleh lihat Afrika Selatan lebih menghormati dia apabila dia masuk.
“Kami akan fikirkan cara terbaik untuk menggunakan Alphonso dalam perlawanan ini, sama ada dari kesebelasan utama atau dari bangku simpanan,” kata Marsch.
Davies yang sudah menjaringkan 15 gol antarabangsa bersama Kanada turut dianggap antara pemain paling berpengaruh pasukan itu dan menjadi sebahagian daripada koleksi ikon Piala Dunia bersama nama besar seperti David Beckham, Thierry Henry, Lamine Yamal dan Christian Pulisic.
Kanada mencatat kemenangan sulung dalam aksi kalah mati apabila Stephen Eustaquio menjaringkan gol pada masa kecederaan separuh masa kedua menentang Afrika Selatan.
Namun Marsch mengakui Maghribi berada pada tahap berbeza dan sukar untuk diatasi.
“Menghadapi Maghribi seperti mimpi ngeri yang mengerikan. Saya tidak mahu menonton mereka bermain kerana mereka terlalu bagus,” katanya.
Tumpuan Kanada turut terarah kepada pemain tengah serangan Maghribi, Ismael Saibari, yang menjaringkan gol dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Sementara itu, pengendali Maghribi, Mohamed Ouahbi berkata, kejayaan menewaskan Belanda membuktikan pasukannya kini perlu diberi perhatian oleh dunia bola sepak.
“Maghribi mendapat penghormatan semua pihak. Kami sudah buktikannya di atas padang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




