Kyiv: Serangan bom besar-besaran oleh Rusia di pusat bandar Sumy, utara Ukraine mengorbankan sekurang-kurangnya tiga individu semalam selain mencederakan mangsa lain termasuk kanak-kanak, menurut Gabenor Wilayah Sumy, Oleh Hryhorov.
Beberapa kawasan lain di wilayah Sumy dan di tenggara Ukraine yang terletak berhampiran garisan hadapan turut diserang tentera Rusia, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada enam orang.
“Serangan itu berlaku di kawasan pusat bandar yang menempatkan sebuah bangunan pangsapuri bertingkat tinggi, sebuah kedai dan jalan utama. Ramai orang berada di lokasi ketika kejadian termasuk kanak-kanak,” katanya menerusi aplikasi Telegram.
Katanya, semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital termasuk seorang budak berusia 13 tahun yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Wilayah Sumy yang bersempadan dengan Rusia berdepan serangan hampir berterusan sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila Moscow berusaha memperluaskan kawasan yang disifatkannya sebagai zon penampan di sepanjang sempadan.
Terdahulu pada hari yang sama, seorang lagi individu terbunuh selepas tentera Rusia melancarkan serangan bom luncur berhampiran bandar Sumy.
Sementara itu, di kawasan tenggara, lebih 50 serangan menggunakan dron, artileri dan bom mengorbankan tiga individu di wilayah Dnipropetrovsk termasuk dua mangsa berhampiran Nikopol iaitu sebuah bandar di seberang Sungai Dnipro yang terletak bertentangan dengan Loji Janakuasa Nuklear Zaporizhzhia yang dikuasai Rusia.
Gabenor Wilayah Dnipropetrovsk, Oleksandr Hanzha menerusi Telegram berkata, seramai 12 individu dilaporkan cedera dalam serangan berkenaan.
Dalam perkembangan berasingan, Gabenor Wilayah Zaporizhzhia, Ivan Fedorov pula berkata, dua individu terbunuh manakala seramai 21 lagi cedera dalam serangan di bandar Zaporizhzhia yang sejak kebelakangan ini kerap menjadi sasaran serangan maut Rusia.
Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan berkenaan secara bebas.
Di ibu negara Kyiv, suasana masih diselubungi kesedihan sehari selepas serangan peluru berpandu dan dron Rusia mengorbankan sekurang-kurangnya 30 individu dalam serangan paling dahsyat melanda bandar itu setakat tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




