BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar menggariskan enam tekad sebagai komitmen kepada penduduk sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, enam tekad itu disusun bagi memastikan Senggarang berkembang sebagai kawasan yang lebih maju, sejahtera dan berdaya saing dengan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat serta pembangunan setempat.
Menurutnya, Senggarang mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, perikanan, perusahaan kecil dan komuniti yang harmoni, namun masih berdepan beberapa cabaran termasuk kemudahan asas, peluang ekonomi, pembangunan belia dan kebajikan rakyat.
“Atas komitmen itu, saya menggariskan Enam Tekad Untuk Senggarang Yang Lebih Maju dan Sejahtera sebagai panduan perjuangan kepada seluruh warga Senggarang.
“Tekad pertama ialah memperjuangkan capaian internet dan telekomunikasi yang lebih berkualiti di kawasan taman perumahan, kampung serta luar bandar bagi memudahkan urusan pendidikan, perniagaan dan kehidupan harian rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tekad kedua memberi penekanan kepada penambahan serta penaiktarafan lampu jalan di kawasan kampung dan lokasi berisiko bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko jenayah.
Selain itu, katanya, usaha menaik taraf jalan raya, longkang dan sistem saliran akan dipergiat bagi mengatasi masalah kesesakan, banjir kilat dan impak air pasang besar yang sering dihadapi penduduk.
Dalam aspek ekonomi, Onn berkata, beliau komited membantu usahawan, peniaga, nelayan, petani dan pekebun melalui latihan, akses pembiayaan, pemasaran serta peluang perniagaan baharu bagi meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau turut berjanji memperluaskan peluang pendidikan dan latihan kemahiran termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta latihan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.
Katanya, tekad terakhir memberi fokus kepada kebajikan rakyat dengan memperkasa peranan Pusat Khidmat Rakyat supaya lebih responsif, cekap dan mudah diakses, di samping memastikan warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta golongan memerlukan terus menerima perhatian dan bantuan sewajarnya.



