Onn Hafiz jelaskan isu pelan induk JS-SEZ, tiada niat cela mana-mana pihak

Onn Hafiz jelaskan isu pelan induk JS-SEZ, tiada niat cela mana-mana pihak

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil menjelaskan bahawa kenyataannya berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan bertujuan mencela mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan setiap maklumat berkaitan inisiatif strategik negeri disampaikan berdasarkan fakta yang tepat.

Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Pengerusi UMNO Johor itu menggunakan isu pelan induk JS-SEZ sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pelan induk JS-SEZ milik kerajaan Malaysia

Menurut Onn Hafiz dalam kenyataannya di Facebook, kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri menuntut setiap kenyataan yang dibuat bersandarkan maklumat yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta pelabur.

Beliau turut menegaskan tidak wajar timbul gambaran bahawa Dokumen Pelan Induk JS-SEZ masih memerlukan persetujuan Kerajaan Singapura sebelum boleh dilancarkan.

Jelasnya, pelan induk berkenaan merupakan dokumen milik Kerajaan Malaysia yang tidak memerlukan kelulusan Singapura, sebaliknya hanya melalui proses libat urus dan maklum balas daripada republik itu yang menurutnya telah pun selesai. Apa yang tinggal hanyalah pelancarannya oleh pihak kementerian atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia.

“Sebab itu saya berpandangan, apabila Perdana Menteri menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders Retreat dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua-dua negara, kenyataan itu tidak tepat serta mengelirukan rakyat,” katanya.

Manfaat bukan hanya kepada Bangsa Johor

Onn Hafiz menambah, sebagai kerajaan negeri, menjadi tanggungjawab Johor memastikan setiap inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada negeri itu dapat dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan demi memberi kepastian kepada pelabur.

Menurutnya, ramai pelabur sedang menantikan pelancaran Pelan Induk JS-SEZ kerana dokumen itu mampu meningkatkan keyakinan mereka untuk terus menanam modal di zon ekonomi khas berkenaan.

“Manfaatnya bukan sahaja kepada Bangsa Johor, malah turut memberi limpahan kepada Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.

Pada pandangan Perdana Menteri, saya mungkin tidak cerdik, tetapi yang lebih merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat.

“Ia memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor, malah kepada pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ,” katanya.

Terdahulu, Anwar menjelaskan urusan menandatangani perjanjian JS-SEZ melibatkan Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, bukannya di peringkat Menteri Besar.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap dakwaan Onn Hafiz bahawa Kerajaan Persekutuan telah beberapa kali menangguhkan pelancaran pelan induk berkenaan yang menurutnya penting bagi memberi hala tuju jelas kepada pelabur serta pembangunan JS-SEZ.

Sumber: Facebook Onn Hafiz Ghazi

Scroll to Top