JS-SEZ berjalan ikut rancangan, pelan induk dilancar tahun ini

JS-SEZ berjalan ikut rancangan, pelan induk dilancar tahun ini

SHAH ALAM – Pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) disahkan berjalan mengikut rancangan apabila pelan induknya dijangka dilancarkan secara strategik pada suku keempat tahun ini semasa Leaders’ Retreat oleh pemimpin tertinggi Malaysia dan Singapura.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, inisiatif ekonomi rentas sempadan itu memerlukan penyelarasan pelancaran secara berperingkat bagi memastikan keselarasan dasar, kesiapsiagaan pelaksanaan serta keyakinan pelabur dapat diperkukuh.

Menurutnya, keputusan Perdana Menteri untuk menyelaraskan pelancaran Pelan Induk JS-SEZ di peringkat Leaders’ Retreat pada suku keempat tahun ini mencerminkan strategi kerajaan memastikan komitmen dua hala di peringkat tertinggi, sekali gus memberi impak publisiti serta keyakinan berskala global.

Akmal Nasrullah berkata, kemajuan JS-SEZ perlu dinilai berdasarkan hasil serta impak ekonomi yang nyata, dan bukannya bersandarkan tarikh pelancaran dokumen semata-mata.

“Data pelaburan semasa membuktikan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran Johor kekal utuh serta konsisten,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan Johor menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan pengumuman Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, pelan induk berkenaan telah siap dan tidak wajar terus ditangguhkan kerana ia penting dalam memberi kepastian kepada pelabur serta hala tuju pembangunan ekonomi negeri.

Katanya, pelan itu pada asalnya disasarkan untuk diumumkan pada penghujung tahun 2025 sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 30 Mac lalu, namun sekali lagi ditangguhkan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut memaklumkan JS-SEZ merekodkan sejumlah RM76.98 bilion pelaburan diluluskan sepanjang tahun 2025, dengan 57 peratus daripada jumlah kumulatif itu telah memasuki peringkat pelaksanaan di lapangan.

Bagi suku pertama 2026, sebanyak RM5.49 bilion pelaburan baharu telah diluluskan, manakala potensi pelaburan baharu bernilai RM74.12 bilion sedang berada dalam pelbagai fasa rundingan dan penilaian.

Kementerian itu turut menegaskan akan terus memastikan kerjasama antara kerajaan negeri Johor dan agensi pelaksana diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan JS-SEZ kekal tersusun, selain menjadikannya model kerjasama ekonomi yang berdaya saing, terangkum dan mampan.

Inisiatif itu dijangka membuka peluang pelaburan sebenar, menjana pendapatan bernilai tinggi serta memberi manfaat kepada rakyat.

 

 

 

 

 

Scroll to Top