Lelaki cedera tersepit kemalangan tiga SUV

Lelaki cedera tersepit kemalangan tiga SUV

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki cedera selepas tersepit dalam kemalangan tiga kenderaan berhampiran Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kuchai, Jalan Kuchai Lama di sini, hari ini.

Kemalangan itu turut menyebabkan tiga mangsa lain cedera, manakala dua individu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui NG999 pada 6.53 petang.

Menurutnya, susulan itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Katanya, kemalangan membabitkan kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu Honda HR-V, Proton X50 dan Perodua Ativa.

“Kenderaan Honda HR-V membabitkan tiga mangsa iaitu seorang lelaki yang juga pemandu tersepit dan patah kaki kanan serta dua wanita mengalami kecederaan ringan.

“Proton X50 pula membabitkan dua mangsa, iaitu seorang wanita (penumpang) yang mengalami kecederaan di tangan dan kaki, manakala seorang mangsa lelaki (pemandu) tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Katanya, pemandu Perodua Ativa iaitu seorang lelaki juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit pada 7.30 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.22 malam.

“Semua mangsa yang cedera sudah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top