PETALING JAYA: Pengundi Johor diseru memilih wakil rakyat yang benar-benar mampu bekerja, turun padang serta berani membawa suara rakyat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) merangkap Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemilihan wakil rakyat perlu dibuat berdasarkan keupayaan calon memikul amanah rakyat.
Beliau berkata, 56 calon yang ditampilkan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini merupakan barisan yang mempunyai keupayaan, pengalaman dan kesungguhan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.
“Selalu saya pesan dalam ucapan-ucapan saya, bila diberi peluang untuk memilih wakil rakyat, pilihlah orang yang benar-benar boleh bekerja, turun padang dan berani membawa suara rakyat.
“Sebab itulah saya percaya 56 calon yang ditampilkan oleh PH kali ini adalah barisan yang mempunyai keupayaan, pengalaman dan kesungguhan untuk memikul amanah tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Saifuddin berkata, kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus bekerja meskipun dunia berdepan pelbagai cabaran.
Katanya, satu demi satu inisiatif dilaksanakan kerajaan Madani, termasuk usaha memperkukuh ekonomi negara, menarik pelaburan serta menggerakkan pelbagai perancangan demi masa hadapan rakyat.
“Justeru, saya berharap agar bangsa Johor memberi peluang kepada calon-calon PH untuk meneruskan momentum ini di peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN




