'Langkah pertama' di IG Story, Zubir Khan bakal nikah hujung bulan ini

'Langkah pertama' di IG Story, Zubir Khan bakal nikah hujung bulan ini

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perkenalan di media sosial pada 2024 menjadi permulaan bibit cinta buat penyanyi dan komposer lagu Tamil, Zubir Khan bersama tunangnya sebelum mengorak langkah ke fasa lebih serius, awal tahun lalu.

Bakal mendirikan rumah tangga pada hujung bulan ini, Zubir, 26, berkata dia mula memberanikan diri dengan membalas hantaran Instagram Story tunangnya selepas hasratnya untuk menjadikannya sebagai model dalam muzik video (MV) lagu ‘Deepavali Sudah Mari’ tidak kesampaian.

“Saya kenal dia dah lama di media sosial sejak 2024 lagi, cuma waktu itu kami tidak berborak. Pada awal 2025, saya ada ajak dia berlakon untuk lagu Deepavali Sudah Mari, tetapi dia tidak dapat sertai kerana sedang menduduki peperiksaan semester akhir pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) ketika itu.

“Selepas itu, apabila dia ada memuat naik hantaran di Instagram Story, saya pun balas. Biasalah lelaki kena ambil langkah pertama. Jadi bermula dari situ, kami mula suka sama suka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menghitung hari bahagia yang berbaki beberapa hari lagi, Zubir mendedahkan persiapan perkahwinannya kini sudah mencapai 95 peratus.

Penyanyi lagu Oh My Khadhale dan Yennode Macha itu berkata, berikutan bakal isterinya yang berusia 27 tahun itu adalah mualaf maka segala urusan dokumen membabitkan permohonan wali hakim juga sudah diselesaikan.

“Saya hanya berdoa semoga kami dapat mengharungi susah senang bersama. Apa juga dugaan yang datang nanti, kami mahu menghadapinya bersama,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai keputusan bakal isterinya memeluk Islam pada April lalu, Zubir mengagumi keikhlasan wanita berkenaan yang terbuka hati untuk memeluk Islam demi cinta dan perkahwinan mereka.

“Tunang saya pernah cakap, selama 27 tahun dia lahir dan membesar sebagai seorang Hindu, tetapi demi saya dan atas dasar sayang, dia sanggup memeluk Islam dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.

“Pada peringkat awal, memang keluarga dia sukar untuk menerima keputusan itu, tetapi Alhamdulillah sekarang keluarganya sudah boleh terima dan tiada lagi masalah,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran menguruskan perkahwinan, Zubir tidak menafikan emosinya agak terganggu pada mulanya kerana perlu menguruskan segala persiapan bersama tunangnya tanpa bantuan keluarga.

“Awal-awal dahulu memang mental agak tidak stabil sebab kebanyakan benda kami berdua yang kena pilih dan uruskan sendiri.

“Keluarga bukan tidak mahu tolong, tetapi mereka mahu kami belajar memandangkan kami yang mengeluarkan belanja sendiri kali ini.

“Memang agak tertekan, tetapi apabila bertenang dan buat perlahan-lahan, Alhamdulillah emosi saya kini kembali stabil dan bersyukur kerana kami berdua sudah tahu kaedah menguruskan persiapan perkahwinan ini,” kongsinya.

Ditanya mengenai konsep majlis, Zubir berkata, majlis perkahwinan itu akan diadakan mengikut sebelah pihaknya, namun dia turut menjemput seluruh ahli keluarga bakal isterinya untuk meraikan hari bahagia mereka.

Terdahulu, Zubir bertunang dengan wanita pilihan, Heama Maleni Balasubramaniam yang juga graduan PhD dalam bidang Perubatan Bioteknologi pada April lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top