London: Janji berseloroh legenda England, Wayne Rooney untuk terjun ke Sungai Mersey kembali menghantuinya selepas Norway mencipta kejutan besar selepas menyingkirkan Brazil dari Piala Dunia.
Norway melakar kemenangan bergaya 2-1 ke atas juara dunia lima kali itu di New York untuk mengesahkan tempat ke suku akhir, dengan Erling Haaland sekali lagi muncul wira menerusi dua jaringan.
Penyerang Manchester City itu meledak dua gol pada babak kedua bagi memastikan Brazil tumbang, sekali gus membolehkan Norway mencipta antara kejutan terbesar kejohanan.
Brazil cuba bangkit pada penghujung perlawanan apabila Neymar menyempurnakan sepakan penalti selepas Casemiro dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, jaringan itu sekadar gol sagu hati apabila Norway bertahan dengan kental sehingga wisel penamat, sekali gus mencetuskan sambutan luar biasa di Stadium MetLife dan mengejutkan peminat bola sepak seluruh dunia.
Kemenangan sensasi itu turut mengingatkan ramai kepada kenyataan Rooney pada awal kejohanan bahawa beliau sanggup terjun ke Sungai Mersey sekiranya Norway mara ke suku akhir.
Bekas kapten England itu membuat janji tersebut secara berseloroh ketika mengulas peluang Norway, dan kebanyakan penyokong menganggapnya sekadar gurauan.
“Kalau Norway mara ke suku akhir, saya akan terjun ke Sungai Mersey dan mendayung di sepanjang sungai itu,” katanya ketika muncul sebagai pengulasdalam rancangan Match of the Day.
Kini, selepas Haaland mengemudi Norway melakar antara kemenangan paling bersejarah negara itu, ramai penyokong mula mengingatkan Rooney supaya menunaikan janjinya.
Norway kini muncul antara pasukan yang menjadi perhatian utama kejohanan dengan Haaland mengetuai skuad muda yang terus melepasi jangkaan pada setiap perlawanan.
Selepas menyingkirkan Brazil, semakin ramai percaya Norway berpotensi melakar satu lagi kejutan dan mencipta antara kisah dongeng terhebat dalam sejarah Piala Dunia.
Norway bakal berdepan England di suku akhir selepas The Three Lions menewaskan tuan rumah bersama, Mexico, 3-2 dalam aksi dramatik di Mexico City, pagi tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd

