Mexico City: Pengurus England, Thomas Tuchel menyifatkan kemenangan mendebarkan 3-2 ke atas Mexico di Stadium Azteca seolah-olah menjuarai satu perlawanan akhir selepas pasukannya mengharungi pelbagai cabaran untuk mara ke suku akhir Piala Dunia.
Diterajui dua gol Jude Bellingham dan satu jaringan penalti Harry Kane, Three Lions berjaya mengatasi kesan bermain di altitud tinggi, tekanan puluhan ribu penyokong tuan rumah serta beraksi lebih 45 minit dengan 10 pemain.
“Sepanjang persiapan perlawanan ini, ia langsung tidak terasa seperti aksi pusingan 16 terakhir. Rasanya seolah-olah kami memenangi satu perlawanan akhir apabila pengadil meniup wisel penamat.
“Bermain selama 40 atau 50 minit di altitud tinggi menentang tuan rumah, ini benar-benar detik yang menggembirakan. Ia satu persembahan luar biasa dan kemenangan yang diraih dengan penuh keberanian.
“Saya amat gembira buat pemain, tetapi juga untuk diri saya sendiri kerana dapat menjadi sebahagian daripada pengalaman ini. Ia detik yang sangat istimewa dan mengharunginya dalam keadaan serba mencabar menjadikannya lebih bermakna,” kata Tuchel.
Kemenangan itu juga membantu England melupakan kenangan pahit kekalahan kepada Argentina di Stadium Azteca pada suku akhir Piala Dunia 1986.
Pada perlawanan itu, Diego Maradona menjaringkan gol kontroversi ‘Tangan Tuhan’ sebelum menghasilkan satu jaringan solo menakjubkan ketika Argentina menang 2-1.
Juara bertahan, Argentina dan England berpotensi bertemu di separuh akhir, namun Tuchel enggan memikirkan perkara itu buat masa ini kerana tumpuan kini terarah kepada Norway.
Norway mengejutkan Brazil lebih awal menerusi dua gol Erling Haaland untuk menempah tempat ke suku akhir.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai separuh akhir sedangkan kami baru sahaja mara ke suku akhir. Kini kami ada peluang untuk berehat beberapa hari.
“Saya akan mengambil satu hari penuh tanpa bola sepak dan selepas itu kami akan mula menilai Norway.
“Kami mempunyai kenangan yang sangat menyedihkan di stadium ini, tetapi hari ini kami berdamai dengannya,” katanya.
Selepas dua gol pantas Bellingham pada babak pertama, yang dijaringkan dalam tempoh 95 saat, Julian Quinones menghidupkan semula harapan Mexico menerusi satu rembatan kencang.
Kad merah yang diterima Jarell Quansah selepas semakan VAR dilihat memberi kelebihan kepada Mexico.
Namun Kane segera mengembalikan kelebihan dua gol England menerusi sepakan penalti sebelum dia pula dihukum kerana kekasaran yang menghadiahkan penalti kepada Mexico, disempurnakan Raul Jimenez.
© New Straits Times Press (M) Bhd




