Pelancong Malaysia kekal pengguna asing tertinggi kereta api Laju Whoosh

Pelancong Malaysia kekal pengguna asing tertinggi kereta api Laju Whoosh

JAKARTA – Rakyat Malaysia terus menjadi kumpulan pelancong asing terbesar yang menggunakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi Whoosh apabila seramai 74,902 penumpang direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2026.

Perkhidmatan yang dikendalikan PT Kereta Cepat Indonesia-China (KCIC) itu merekodkan seramai 184,740 penumpang warga asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, manakala secara keseluruhan 866,458 pelancong antarabangsa telah menggunakan Whoosh sejak ia memulakan operasi pada Oktober 2023.

Pengurus Besar Setiausaha Korporat KCIC, Eva Chairunisa berkata, peningkatan tersebut mencerminkan minat yang semakin tinggi dalam kalangan pelancong antarabangsa terhadap Whoosh sebagai pengangkutan moden bagi laluan Jakarta-Bandung.

Menurut beliau, Whoosh bukan sahaja menjadi pilihan rakyat Indonesia, malah semakin ramai pelancong luar negara memilih perkhidmatan itu kerana menawarkan perjalanan yang pantas, selesa dan efisien ketika melawat Jakarta, Bandung serta kawasan sekitarnya.

Eva berkata, jumlah pengguna yang tinggi dari Malaysia seiring dengan peningkatan kunjungan pelancong negara itu ke Indonesia, khususnya ke wilayah Bandung Raya yang terkenal sebagai destinasi membeli-belah, pelancongan makanan, percutian keluarga dan rekreasi.

Katanya, kemudahan perjalanan yang hanya mengambil masa sekitar 45 minit antara Jakarta dan Bandung menjadikan Whoosh semakin popular dalam kalangan pelawat yang ingin memaksimumkan masa sepanjang berada di Indonesia.

“Bukan sahaja rakyat Indonesia, malah semakin ramai pelancong antarabangsa memilih Whoosh kerana ia menawarkan pengalaman perjalanan yang cepat, selesa dan cekap, sekali gus memudahkan pergerakan mereka di Jakarta, Bandung dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sepanjang Jun lalu sahaja, seramai 12,700 rakyat Malaysia menggunakan Whoosh daripada keseluruhan 35,436 penumpang asing yang direkodkan bagi bulan berkenaan.

Secara kumulatif sejak operasi bermula pada Oktober 2023, Malaysia turut kekal sebagai negara penyumbang terbesar pengguna asing Whoosh dengan 373,433 penumpang.

Kedudukan itu diikuti Singapura yang merekodkan 106,010 penumpang, China (75,659), Jepun (41,416), Korea Selatan (28,144), Australia (27,103), Amerika Syarikat (26,307), Brunei (22,213), India (21,491) dan Belanda (19,438 penumpang).

Statistik tersebut menunjukkan laluan Jakarta-Bandung semakin mendapat perhatian pelancong antarabangsa, khususnya dari negara-negara Asia Tenggara yang mempunyai hubungan pelancongan dan penerbangan yang kukuh dengan Indonesia.

Dalam pada itu, Eva berkata, KCIC akan terus mempertingkatkan kualiti perkhidmatan Whoosh supaya lebih mudah diakses oleh semua penumpang, termasuk pelancong antarabangsa.

Beliau berkata, penyediaan sistem pengangkutan moden yang pantas, selesa dan bersepadu bukan sahaja meningkatkan pengalaman perjalanan, malah menyokong usaha kerajaan Indonesia memperkukuh sektor pelancongan, mempertingkatkan hubungan antara destinasi utama serta merangsang pertumbuhan ekonomi di Jakarta, Bandung dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, komitmen itu akan diteruskan menerusi penambahbaikan perkhidmatan dan kemudahan bagi memastikan Whoosh kekal menjadi pilihan utama pelancong domestik serta antarabangsa.-Agensi

Scroll to Top