SHAH ALAM – Arahan Pas supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan Barisan Nasional (BN) tidak lagi yakin dengan kekuatan sendiri, selain menyerlahkan perubahan prinsip parti itu demi kepentingan politik.
Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, Pas sebelum ini sering mendakwa perjuangannya berteraskan prinsip, namun pendirian tersebut dilihat berubah apabila berdepan pilihan raya.
Menurutnya, parti itu suatu ketika dahulu lantang mengkritik pihak tertentu, namun kini mengarahkan ahlinya mengundi calon daripada parti yang pernah menjadi sasaran kritikan.
“Jika BN benar-benar kuat di Johor, mengapa masih memerlukan sokongan Pas?
“Jika Pas benar-benar berpegang pada prinsip perjuangannya, mengapa arahan mengundi boleh berubah semata-mata untuk menghalang Pakatan Harapan (PH)?
“Ini bukan soal kaum, tetapi soal kejujuran dan integriti dalam berpolitik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, rakyat Johor perlu menolak politik berasaskan ketakutan dan sentimen sempit, sebaliknya memilih kerajaan yang mampu memberi tumpuan kepada isu ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan serta kesihatan rakyat.
Menurutnya, pengundi juga perlu bijak menilai parti yang dilihat mengubah pendirian mengikut keadaan demi kepentingan politik semasa.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mengarahkan ahli dan penyokong Pas mengundi calon BN, termasuk daripada MCA dan MIC, di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) bagi menghalang PH, khususnya DAP, membentuk kerajaan negeri.
Beliau turut berharap penyokong BN membalas sokongan itu dengan mengundi calon Pas di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti berkenaan pada PRN Johor.



