am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad akan menggerakkan pusat panggilan (call centre) sebagai pendekatan terakhir untuk menyantuni seramai mungkin pengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.
Beliau berkata, berbaki empat hari tempoh berkempen, semua jentera BN kini memberi tumpuan kepada usaha menghubungi pengundi yang belum sempat ditemui secara bersemuka bagi memastikan tiada pengundi tercicir daripada menerima maklumat.
“Kita masih ada empat hari lagi kempen. Secara fizikal, kita sudah mengadakan ‘walkabout’, perjumpaan dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain sesi bersama masyarakat pelbagai kaum.
“Kali ini, kita akan menggerakkan ‘call centre’ untuk menyantuni pengundi kerana DUN Kota Iskandar mempunyai lebih 131,000 pengundi dengan latar belakang dan penempatan yang pelbagai seperti kawasan berpagar dan berpengawal, kampung, taman perumahan serta institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Sembang Santai Bersama Pengundi DUN Kota Iskandar di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lima Kedai di sini, malam tadi.
Ia turut dihadiri Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pandak berkata, selain panggilan telefon, BN turut memanfaatkan media sosial serta rangkaian kumpulan komunikasi yang dikenal pasti oleh Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jentera parti bagi memastikan mesej kempen sampai kepada pengundi.
“Empat hari bukan tempoh yang panjang. Kita tidak mahu ada pengundi yang tertinggal atau tidak mendapat maklumat. Walaupun seorang pengundi, undinya tetap penting untuk menentukan kemenangan,” katanya.
Beliau berkata, komposisi pengundi Melayu dan bukan Bumiputera di DUN Kota Iskandar yang agak seimbang menyebabkan BN tidak boleh mengambil mudah atau terlalu yakin dengan sokongan yang diterima.
Mengulas mengenai sasaran pengundi putih, Pandak berkata, BN sudah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan oleh Badan Perhubungan UMNO Johor dan BN Iskandar Puteri bagi memastikan kadar keluar mengundi mencapai sasaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




