Vancouver: Keupayaan pemain Colombia menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi akan menjadi kunci apabila mereka berdepan Switzerland dalam aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia, kata jurulatih, Nestor Lorenzo.
Colombia hanya melepaskan satu gol sepanjang kejohanan setakat ini, dengan Lorenzo kerap melakukan perubahan taktikal dan posisi ketika perlawanan berlangsung bagi memastikan anak buahnya sentiasa bersedia menghadapi perubahan situasi.
“Saya percaya penting untuk kami memiliki pemain seperti ini, pemain yang mampu membaca permainan dengan mudah dan tahu bagaimana untuk bertindak.
“Selain memiliki kemampuan fizikal dan teknikal yang membolehkan mereka menjadi lebih serba boleh, mereka juga memahami permainan.
“Mereka memahami setiap fasa perlawanan dan perkara itu membantu pasukan berkembang. Saya fikir kami mempunyai ramai pemain seperti ini yang sangat versatil,” kata Lorenzo pada sidang media menjelang perlawanan awal pagi esok.
Colombia yang masih belum tewas terpaksa merentasi benua Amerika Utara sepanjang kejohanan ini.
Mereka memulakan dua perlawanan pertama di Mexico sebelum bergerak ke Miami dan Kansas, kemudian menyeberangi sempadan ke Kanada untuk aksi pusingan 16 terbaik menentang Switzerland.
“Ia bukan sesuatu yang baik apabila perlu melakukan perjalanan terlalu banyak. Perubahan masa sentiasa berlaku, begitu juga cuaca.
“Kami bermain di kawasan altitud tinggi, dalam keadaan lembap, malah cuaca kering juga kami lalui. Kami terdedah kepada pelbagai perubahan keadaan.
“Kami tahu perkara ini akan berlaku. Piala Dunia ini berlangsung di tiga negara dalam benua yang sangat besar. Situasi seperti ini boleh berlaku kepada mana-mana pasukan dan ia berlaku kepada kami.
“Kami hanya perlu menerima keadaan ini, cuba mengatasinya hari demi hari dan memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Jurulatih berusia 60 tahun itu menjangkakan cabaran sukar daripada pasukan kendalian Murat Yakin.
“Ia memerlukan disiplin taktikal yang tinggi kerana mereka sangat tersusun.
“Mereka bagus ketika menyerang, bagus ketika bertahan dan banyak gerakan mereka sudah dirancang dengan baik kerana ketua jurulatih mereka sudah bersama pasukan itu selama empat atau lima tahun.
“Mereka sudah beraksi dalam dua Piala Dunia dan sebahagian pemain mereka turut beraksi di Qatar pada 2022.
“Mereka mempunyai pengalaman tinggi, bermain dalam Liga Perdana Inggeris dan Itali. Jadi ia akan menjadi perlawanan sukar menentang pasukan yang sangat baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




