Siasatan terhadap Puad Zarkashi masih dijalankan – Polis Johor

Siasatan terhadap Puad Zarkashi masih dijalankan – Polis Johor

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi susulan beberapa laporan polis yang diterima terhadap beliau, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad bagaimanapun berkata, pihaknya enggan mengulas lebih lanjut berhubung siasatan tersebut.

“Ya, itu masih dalam siasatan. Kita setakat ini masih dalam menyiasat perkara ini. Saya pun tidak boleh ulas sebab banyak perkara-perkara yang masih lagi kita teliti untuk kita melengkapkan kertas siasatan.

“Siasatan masih dibawah IPK Johor,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Setakat 25 Jun lalu, polis Johor telah menerima 153 laporan dari seluruh negara melibatkan Mohd. Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor susulan kenyataan dibuat dipercayai mengaitkan institusi diraja dengan proses demokrasi termasuk pembubaran DUN Johor.

Siasatan terhadap Mohd. Puad dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN

Scroll to Top