Kebakaran hutan di Eropah kembali mengganas

Kebakaran hutan di Eropah kembali mengganas

PARIS – Kebakaran hutan terus mengganas di beberapa negara selatan Eropah pada Ahad, memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing selain mendorong penganjur perlumbaan berbasikal Tour de France melarang kehadiran penonton bagi satu daripada peringkat perlumbaan.

Ratusan anggota bomba kini bertungkus-lumus memadam kebakaran yang telah memusnahkan lebih 19,000 hektar kawasan hutan dan belukar di Portugal, Sepanyol, Perancis serta Greece, bersamaan kawasan yang melebihi dua kali ganda keluasan Manhattan di Amerika Syarikat.

Anggota bomba Keselamatan Awam Perancis tiba di kawasan kebakaran hutan di Ille-sur-Têt, selatan Perancis bagi tujuan memadam kebakaran hutan. — FOTO: AFP

Anggota bomba Keselamatan Awam Perancis tiba di kawasan kebakaran hutan di Ille-sur-Têt, selatan Perancis bagi tujuan memadam kebakaran hutan. — FOTO: AFP

Keadaan dijangka bertambah buruk apabila suhu di beberapa bahagian Eropah diramal meningkat semula sehingga mencecah 40 darjah Celsius dalam tempoh beberapa hari akan datang, ketika rantau itu masih bergelut dengan kesan gelombang haba luar biasa yang melanda minggu lalu.

Di barat daya Perancis, kira-kira 10,500 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka berhampiran bandar Perpignan selepas kebakaran memusnahkan sekitar 1,650 hektar kawasan, menurut pihak berkuasa.

Seorang penduduk Kampung Trevillach, Patrice, 53, berkata, api marak dengan begitu pantas sehingga menghampiri kira-kira 300 meter dari kawasan perumahan.

“Kami benar-benar terkejut dengan kelajuan api merebak. Situasinya amat mencemaskan dan telah mencetuskan panik,” katanya.

Kebakaran itu berlaku hanya beberapa minggu selepas Eropah mengalami antara gelombang haba paling buruk dalam sejarah pada Jun lalu, yang mengakibatkan ribuan kematian.

 

Kumpulan saintis World Weather Attribution sebelum ini menyatakan gelombang haba berkenaan hampir mustahil berlaku tanpa kesan perubahan iklim.

Pegawai bomba Perancis, Kolonel Eric Belgioino berkata, musim kebakaran hutan tahun ini bermula hampir sebulan lebih awal berbanding kebiasaan susulan peningkatan suhu akibat perubahan iklim.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Perancis mengumumkan peringkat ketiga perlumbaan Tour de France pada Isnin yang merentasi banjaran Pyrenees akan berlangsung tanpa kehadiran penonton atas faktor keselamatan.

Greece, Portugal turut terjejas

Di Greece, kebakaran hutan memusnahkan dua kilang di bandar Thessaloniki, sekali gus memaksa pihak berkuasa memindahkan penduduk di kawasan berhampiran serta mengarahkan orang ramai menutup tingkap rumah berikutan kehadiran asap berbahaya.

Di timur laut Sepanyol pula, kebakaran berhampiran pantai Costa Brava memusnahkan lebih 2,200 hektar kawasan dalam tempoh dua hari, dengan anggota bomba memberi amaran operasi pemadaman akan menjadi semakin sukar berikutan suhu yang terus meningkat dan kewujudan banyak titik panas di kawasan kebakaran.

Sementara itu, kira-kira 300 anggota bomba turut dikerahkan bagi memadam satu lagi kebakaran di kawasan pergunungan wilayah Drome di tenggara Perancis.

Di Portugal, perkhidmatan kecemasan memaklumkan kira-kira 80 peratus kebakaran besar yang memusnahkan sekitar 13,000 hektar kawasan hutan dan belukar di utara negara itu berjaya dikawal.

Kebakaran hutan terus marak di wilayah Aspres berhampiran Millas, selatan Perancis, sehingga memaksa lebih 10,000 penduduk dipindahkan. -FOTO:AFP

Kebakaran hutan terus marak di wilayah Aspres berhampiran Millas, selatan Perancis, sehingga memaksa lebih 10,000 penduduk dipindahkan. -FOTO:AFP

Kebakaran besar turut dilaporkan memusnahkan ratusan hektar kawasan hutan, ladang anggur dan belukar di Pulau Hvar, Croatia serta Tale di Albania.

Beberapa wilayah di Portugal, Sepanyol dan selatan Perancis kini meningkatkan tahap amaran cuaca panas, manakala gelombang haba terbaharu dijangka bergerak ke utara Eropah bermula Isnin dan berpotensi berlarutan sehingga hujung minggu depan.

Sebelum ini, Perancis melaporkan lebih 2,000 kematian dalam tempoh seminggu susulan gelombang haba pada Jun, manakala Sepanyol dan Belgium masing-masing merekodkan lebih 1,000 kematian. – AFP

Scroll to Top