MARAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tujuh berita gembira membabitkan peruntukan RM2 bilion untuk warga Felda sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini pada Selasa.
Beliau berkata, inisiatif itu merangkumi bantuan kepada Felda, perumahan generasi baharu, manfaat kepada warga peneroka melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF), perumahan petugas Felda, literasi digital, pendidikan dan kesihatan.
Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan menyelesaikan masalah hutang berjumlah RM990 juta yang sekian lama membelenggu Felda.
“Tidak adil untuk menyalahkan peneroka kerana yang berlaku ialah kelemahan pengurusan. Sebab itu kerajaan mengambil tanggungjawab membantu Felda dan memastikan tadbir urus diperkukuh.
“Justeru, sebanyak RM990 juta disediakan bagi membiayai bayaran balik pinjaman termasuk penghapusan hutang peneroka, selain menyalurkan lebih RM1 bilion lagi pada tahun 2027,” katanya ketika berucap pada sambutan berkenaan di sini pada Selasa.
Menyentuh isu perumahan generasi baharu, Anwar berkata, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu legasi membabitkan lima inisiatif strategik, termasuk cadangan pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 bagi membolehkan pembinaan lebih daripada sebuah rumah di atas satu lot.

Anwar merasmikan sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini pada Selasa.
Beliau berkata, draf pindaan berkenaan perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri dan dibentangkan di Parlimen tahun ini.
“Sementara menunggu pindaan itu diluluskan, kerajaan bersetuju melaksanakan proses pemutihan terhadap kira-kira 8,000 unit rumah yang telah siap dibina dan diduduki sehingga 31 Disember 2025.
“Langkah itu membolehkan pemilik mendapatkan penyambungan bekalan air dan elektrik dengan segera,” katanya.
Anwar berkata, Projek PGBF yang bermula sejak 2013 akan dipantau secara lebih ketat selepas banyak projek mengalami kelewatan akibat kelemahan perancangan dan pemantauan.
“Saya telah mengarahkan pihak pengurusan meneliti setiap projek dan mengemukakan laporan kemajuan secara berkala.
“Kerajaan negeri serta syarikat utiliti juga perlu membantu Felda menyegerakan pelaksanaan projek kerana kita tidak boleh lagi menangguhkannya.
“Saya juga mahu laporan kemajuan dikemukakan setiap dua minggu bagi memastikan projek ini berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut meluluskan RM150 juta bagi meneruskan pembinaan 554 unit rumah terbengkalai di Johor dan Terengganu untuk manfaat generasi baharu FELDA.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan RM20 juta bagi menyiapkan Projek SKF di dua lokasi iaitu Laka Selatan, Kedah membabitkan 86 unit rumah dan Palong 16, Negeri Sembilan sebanyak 100 unit.
Anwar berkata, kedua-dua projek berkenaan kini berada pada tahap kemajuan antara 60 hingga 70 peratus namun berdepan kekangan kekurangan baki peruntukan.

Anwar menyampaikan anugerah RM1juta kepada pemenang anugerah kecemerlangan Rancangan Felda 2026 sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 Felda di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka di sini pada Selasa.
“Bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan generasi baharu Felda terbela, saya meluluskan tambahan RM20 juta untuk menyelesaikan projek ini,” katanya.
Mengenai Lot Generasi Felda, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 31,954 lot telah dikenal pasti di beberapa negeri, namun lebih 21,000 lot masih belum menerima hak milik.
Beliau berkata, perkara itu akan menjadi agenda utama dalam Mesyuarat Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Ogos ini bagi mencari penyelesaian bersama termasuk isu kos infrastruktur dan pemberimilikan tanah.
Menurutnya, kerajaan bersetuju mengembalikan model asal penjualan minyak sawit mentah sebelum penyenaraian FGV bagi meningkatkan keuntungan kilang sawit dan KPF.
Beliau berkata, langkah itu dijangka menjana tambahan pendapatan sebanyak RM42 juta kepada warga peneroka.
“Bagi memperkukuh kebajikan warga Felda, kerajaan turut meluluskan RM450 juta bagi membaik pulih dan membina rumah baharu petugas Felda secara berperingkat.
“Selain itu, sebanyak RM15.85 juta diperuntukkan bagi meningkatkan kemudahan digital di 317 rancangan Felda,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan RM10 juta bagi kerja baik pulih sekolah di kawasan FELDA yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata, Skuad Maya Felda yang dilancarkan tahun lalu telah berjaya melahirkan 1,556 sukarelawan dalam kalangan peneroka, selain melaksanakan saringan kesihatan di rancangan Felda seluruh negara.
“Bagi memastikan ikhtiar murni ini berhasil dan diperkasa, saya mengumumkan bantuan tambahan untuk Skuad Maya Felda sebanyak RM3 juta,” katanya.
Anwar berharap kesemua tujuh inisiatif yang diumumkan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga peneroka, generasi baharu dan petugas Felda bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
“Hari ini kita telah menunjukkan bagaimana Felda yang diurus dengan baik dan kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk membela nasib peneroka mampu membawa perubahan besar,” katanya.



