Di tengah-tengah dunia yang semakin dipacu teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), buku masih mempunyai tempat tersendiri dalam hati masyarakat.
Dalam masa yang sama, seni kaligrafi yang telah merentas zaman terus membuktikan bahawa warisan budaya bukan sekadar tinggalan sejarah, sebaliknya mampu menjadi jambatan yang menyatukan rakyat berbilang kaum.
Semangat itu menjadi nadi kepada Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 yang berlangsung di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Georgetown dari 3 hingga 6 Julai 2026.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang itu bukan sekadar menghimpunkan pencinta buku dan penggiat seni, malah membawa mesej bahawa ilmu serta warisan budaya mampu bergerak seiring dalam memperkukuh perpaduan negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penganjuran itu merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang meraikan budaya membaca dan industri perbukuan, di samping mengangkat seni tulisan sebagai warisan ketamadunan serta medium penyatuan masyarakat.
“Penganjuran Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja meraikan budaya membaca dan industri perbukuan, malah turut mengangkat seni tulisan sebagai warisan ketamadunan, lambang identiti dan medium penyatuan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan budaya membaca di Malaysia menunjukkan perubahan yang cukup memberangsangkan sejak hampir dua dekad lalu.
Jika pada tahun 2005 rakyat Malaysia hanya membaca purata dua buah buku setahun, angka itu meningkat kepada 15 buah buku pada 2015 sebelum mencecah 24 buah buku setahun berdasarkan kajian pada 2023.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelbagai inisiatif kerajaan dalam menggalakkan amalan membaca telah memberikan impak yang positif,” ujarnya.

Menurut Aaron, tabiat membaca kini turut berubah mengikut perkembangan zaman apabila rakyat tidak lagi bergantung kepada satu medium semata-mata.
Kajian mendapati 88.6 peratus rakyat Malaysia mengamalkan budaya membaca, dengan purata 16 buah buku fizikal dan lapan bahan bacaan digital dibaca setiap tahun.
Bagi memastikan akses kepada ilmu terus diperluaskan, beliau berkata KPN melalui PNM memperkenalkan platform perpustakaan digital kebangsaan, u-Pustaka.
Platform itu menyediakan lebih sejuta judul kandungan digital merangkumi e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-jurnal dan bahan e-pembelajaran yang boleh diakses secara percuma.
“Kini, u-Pustaka menawarkan lebih daripada satu juta judul kandungan digital, sekali gus memperluaskan akses rakyat kepada ilmu tanpa mengira lokasi dan masa,” katanya.
Namun, Aaron menegaskan perkembangan teknologi tidak pernah mengurangkan nilai buku bercetak.
Sebaliknya, pesta buku terus menjadi ruang yang mempertemukan penulis, penerbit dan pembaca sambil menyuburkan budaya membaca dalam masyarakat.
Beliau berkata, kejayaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang merekodkan lebih 2.4 juta pengunjung membuktikan buku fizikal masih mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
“Pesta buku kekal menjadi wadah penting dalam menyemarakkan budaya membaca, mempertemukan penulis, penerbit dan pembaca, serta menyokong industri perbukuan negara,” ujar Aaron.
Selain buku, festival itu turut memberi penghormatan kepada seni kaligrafi yang telah lama menjadi sebahagian daripada warisan pelbagai tamadun.

Sementara itu, Festival Kaligrafi Perpaduan yang memasuki penganjuran tahun kedua memberi peluang kepada masyarakat mengenali keunikan seni khat Jawi, kaligrafi Cina, Tamil serta pelbagai bentuk tulisan tradisional lain yang mencerminkan identiti masyarakat Malaysia.
Lebih daripada sekadar pameran seni, beliau berkata festival itu menjadi medan yang menyuburkan persefahaman, toleransi dan saling menghormati antara rakyat daripada pelbagai latar belakang.
“Festival ini membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dan menghayati keindahan seni tulisan daripada kepelbagaian budaya yang wujud di Malaysia.
“Ia menjadi wahana yang menyemarakkan persefahaman, toleransi dan rasa saling menghormati antara masyarakat berbilang bangsa, bahasa dan agama, sekali gus memperkukuh asas perpaduan nasional,” katanya.
Manakala dalam dunia yang semakin dipenuhi teknologi AI, Aaron berpandangan warisan seperti seni kaligrafi tidak seharusnya dipinggirkan, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan kemajuan semasa.
Tambahnya, pendigitalan karya, pameran maya, aplikasi pembelajaran serta kolaborasi antara pengkarya dan teknologi boleh menjadi pendekatan baharu bagi memastikan seni kaligrafi terus hidup dalam jiwa generasi muda.
“Kita perlu memanfaatkan teknologi seperti AI, platform digital dan media kreatif untuk memperluas serta memperkenalkan seni kaligrafi kepada generasi muda,” tambah beliau lagi.

Sepanjang empat hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk bicara buku, pelancaran buku baharu, sembang seni digital, pertandingan kaligrafi dan khat perpaduan, persembahan kebudayaan, ASEAN Kid’s Fashion Competition, kuiz interaktif, Jualan Rahmah, cabutan bertuah serta jualan buku dengan potongan harga sehingga 70 peratus.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Apabila tirai Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 dilabuhkan, yang dibawa pulang oleh pengunjung bukan sekadar buku baharu atau hasil seni yang memukau.
Lebih daripada itu, festival ini mengingatkan bahawa ilmu dan warisan budaya kekal menjadi asas penting dalam membina sebuah masyarakat yang saling memahami dan menghormati.




