PRN Johor: Polis terima 56 laporan, 18 kertas siasatan dibuka

PRN Johor: Polis terima 56 laporan, 18 kertas siasatan dibuka

JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menerima 56 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya sejak Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 27 Jun lalu, sehingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka.

“Bagi 10 kertas siasatan yang baharu dibuka sejak Jumaat lepas, lapan kes melibatkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda.

“Manakala masing-masing satu kes di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dan Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kesalahan kempen pilihan raya dan batasannya,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Ab. Rahaman, pihaknya juga telah menerima 3,484 permohonan permit bagi ceramah dan aktiviti kempen dengan 3,215 daripadanya diluluskan setakat semalam.

“Sebanyak 3,182 program politik dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu proses undi awal melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor lancar dengan sebanyak 95.42 peratus pegawai, anggota dan pasangan mengundi sehingga pukul 5 petang.

“Seramai 11,511 pengundi daripada keseluruhan 12,706 pegawai, anggota polis dan pasangan yang berdaftar sebagai pengundi awal dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) keluar mengundi,” katanya.UTUSAN

Scroll to Top