Teow puji tindakan berani kanak-kanak selamatkan dua abang dalam kebakaran

Teow puji tindakan berani kanak-kanak selamatkan dua abang dalam kebakaran

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Keberanian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mengejutkan dua abangnya ketika kebakaran memusnahkan rumah mereka di Flat Blok LM, Taman Daya, di sini, hari ini mendapat pujian calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Teow Chia Ling yang menyifatkannya sebagai satu tindakan wajar dicontohi.

Teow berkata, beliau bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu dan difahamkan kebakaran berlaku ketika ibu kepada tiga beradik terbabit keluar membeli barangan, manakala mereka sedang tidur di rumah.

“Mujur adik bongsu yang berusia tujuh tahun bertindak pantas mengejutkan dua abangnya sebelum mereka sempat menyelamatkan diri.

“Keberaniannya wajar dijadikan inspirasi. Jika dia lambat bertindak, mungkin nyawanya atau ahli keluarganya berada dalam bahaya.

“Kebakaran berjaya dipadamkan dan saya difahamkan Pasukan Forensik Bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti puncanya.

“Melihat adik kecil itu hanya memakai jaket nipis, saya memberikan baju-T kempen yang ada di dalam kereta supaya dia tidak kesejukan. Saya menghubungi Yayasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi membantu keluarga ini,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial Facebook selepas menziarahi keluarga mangsa.

Teow berdepan persaingan lima penjuru bagi merebut kerusi DUN Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik, Rashifa Aljunied (MUDA), Nicholas Paul Vincent (Parti Bersama) dan calon Bebas Wang Wee Siong.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.53 pagi.

Katanya, seramai 19 anggota bersama dua Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau serta Johor Jaya dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 7.03 pagi.

“Kebakaran membabitkan sebuah unit kediaman di tingkat dua dan berjaya dikawal pada jam 8.11 pagi.

“Kebakaran memusnahkan kira-kira 60 peratus unit rumah itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top