Saya tak mampu berkata apa-apa – Scaloni

Saya tak mampu berkata apa-apa – Scaloni

Kansas City: Lionel Messi memimpin kebangkitan luar biasa Argentina apabila juara bertahan itu bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Mesir 3-2 dan mara ke suku akhir Piala Dunia.

Argentina hampir menjadi mangsa kejutan besar di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta apabila Mesir berada di ambang kemenangan bersejarah selepas jaringan Yasser Ibrahim dan Mostafa Zico meletakkan mereka di depan 2-0 dengan hanya 11 minit permainan sebenar berbaki.

Namun, tandukan Cristian Romero pada minit ke-79 hasil hantaran tepat Messi memberikan nafas baharu kepada juara dunia itu untuk merapatkan jurang kepada 2-1.

Empat minit kemudian, Messi meledak gol penyamaan menerusi voli hebat, jaringan kelapannya dalam kejohanan ini sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada ribuan penyokong Argentina dalam kalangan 68,239 penonton yang hadir.

Ketika perlawanan dijangka memasuki masa tambahan, Enzo Fernandez muncul penyelamat apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit kedua masa kecederaan untuk akhirnya memecahkan kebuntuan Mesir.

Gol Fernandez melengkapkan aksi penuh dramatik yang menyaksikan Messi gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa pertama, kegagalan keduanya daripada sepakan penalti dalam kejohanan ini manakala Mesir turut dinafikan gol kedua babak kedua selepas keputusan kontroversi menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni gagal menyembunyikan emosinya selepas tamat perlawanan.

“Saya tidak mampu memandang ke atas, maaf. Saya benar-benar beremosi sekarang.

“Sungguh hebat kumpulan pemain ini. Itu sahaja, saya perlu pergi,” kata Scaloni.

Kemenangan itu sekali lagi memperlihatkan Argentina terpaksa bekerja keras selepas mereka turut dipaksa berhempas pulas menentang Cape Verde dalam aksi 16 terakhir yang berlanjutan ke masa tambahan, pagi Sabtu lalu.

Argentina kini akan bertemu pemenang pertemuan Switzerland atau Colombia dalam aksi suku akhir.

Colombia yang mendapat sokongan ribuan penyokong berbaju kuning penuh semangat dilihat sebagai antara pasukan pilihan gelap untuk mencipta kejutan dalam kejohanan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top