redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Pilah: “Dulu orang panggil saya tuan atau Leftenan, sekarang saya lebih dikenali dengan gelaran komandan biri-biri.
“Ada juga yang berseloroh dengan mengatakan saya dulu menerbangkan helikopter, tapi sekarang kejar biri-biri pula. Saya senyum saja kerana faham mengapa mereka berkata begitu.”
Itu kata Leftenan Bersara (B) Mohamed Adib Abdul Razak, 35, ketika menceritakan kisahnya yang pernah menabur bakti selama 15 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan, namun kini menceburi dunia agro sebagai usahawan dan penternak biri-biri.
Bercerita lanjut, Mohamed Adib yang juga pengasas Afdal Rezeki Sdn Bhd dengan jenama Argrow dan Berek Birri berkata, dia bukan memilih untuk meninggalkan TLDM kerana hilang minat atau ingin beralih bidang.
Sebaliknya, anak ketiga daripada empat beradik yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu bersara awal kerana faktor kesihatan selepas disahkan mengalami gangguan pendengaran sensorineural (SNHL) hingga hilang kelayakan meneruskan tugas sebagai Pegawai Taktikal Udara TLDM atau naval aviator.
“Sudah tentu keputusan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima kerana bergelar pegawai tentera adalah impian saya, jadi menamatkan perkhidmatan tentunya detik yang sangat berat dalam hidup saya.
“Tapi sebagai seorang pegawai tentera, kita diajar untuk menyesuaikan diri dengan apa juga keadaan dan memilih untuk melihatnya sebagai satu permulaan baharu, bukannya pengakhiran.
“Cuma selepas bersara, rutin harian tiba-tiba berubah, jadi sudah tentu berasa kekosongan… ia membuatkan saya bertanya kepada diri sendiri apa lagi yang saya sumbangkan buat negara.
“Daripada persoalan itulah, saya akhirnya memilih untuk memberi fokus sepenuhnya kepada bidang agro dan penternakan,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Mohamed Adib, minat terhadap bidang itu sudah lama ada, malah pernah diusahakan secara kecil-kecilan ketika masih berkhidmat.
Bagaimanapun, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu melihat tempoh selepas bersara sebagai waktu yang tepat untuk terbabit secara lebih serius dalam bidang penternakan.
Katanya, proses menyesuaikan diri tidak sukar seperti disangka kerana baginya, perubahan hanyalah persekitaran kerja.
“Dahulu saya menjaga aset pertahanan negara, hari ini saya membantu membangunkan aset makanan negara.
“Walaupun tak lagi menyarung pakaian seragam, tetapi disiplin, kepimpinan dan semangat untuk berkhidmat masih sama.
“Itulah sebabnya saya sentiasa percaya bahawa saya bukan meninggalkan dunia ketenteraan, sebaliknya saya membawa semangat kerja dahulu ke dalam dunia agro demi menyumbang kepada keterjaminan bekalan makanan negara,” katanya.
Mohamed Adib juga sanggup bermula dari bawah dengan turun sendiri ke ladang, belajar daripada pengalaman, membuat kesilapan, memperbaiki sistem dan memahami keseluruhan rantaian industri.
“Saya percaya tiada jalan pintas dalam bidang ini. Ilmu daripada buku sangat penting, tapi pengalaman di lapangan yang benar-benar mengajar saya.
“Daripada pengalaman itu, lahirlah jenama Argrow dan Berek Birri di bawah syarikat saya, Afdal Rezeki Sdn Bhd. Saya bukan sekadar mahu menternak biri-biri, tetapi mahu membina satu ekosistem yang lebih moden, telus dan mampan.
“Sebab itu, saya berusaha membangunkan sistem digital MyBirri supaya pengurusan ternakan menjadi lebih sistematik dan pemilik ternakan boleh memantau aset mereka secara telus walaupun berada jauh dari ladang,” katanya yang kini menguruskan lebih 150 biri-biri baka Dorper dan menempatkan haiwan itu di dua lokasi utama, iaitu di sini dan Batu Pahat, Johor.
Mohamed Adib amat bersyukur kerana tidak bersendiri dalam menempuh perjalanan sebagai usahawan selepas menamatkan perkhidmatan sebagai pegawai tentera.
Ini kerana Mohamed Adib turut menerima sokongan kuat daripada Persatuan Veteran TLDM Malaysia (PVTLDM) yang sentiasa berusaha membina ekosistem supaya veteran tentera terus relevan dan mampu menyumbang kepada negara selepas persaraan, serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai agensi pembimbing industri penternakan.
Katanya, di belakang Berek Birri juga ada sebuah pasukan yang menjadi tulang belakang operasi harian, terdiri daripada warden ladang, pegawai operasi, pegawai kesihatan ternakan, pasukan rekod digital, sehingga rakan strategik dalam bidang teknologi dan veterinar.
“Saya juga membawa budaya kerja ketenteraan ke dalam operasi Berek Birri. Kami mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang jelas, jadual kerja yang tersusun, rekod yang lengkap dan budaya penambahbaikan berterusan.
“Jika dahulu saya memimpin anggota, hari ini saya memimpin satu pasukan yang terdiri daripada pekerja ladang, doktor veterinar, rakan teknologi dan usahawan muda yang berkongsi visi yang sama.
“Matlamat saya bukan sekadar menghasilkan ternakan yang berkualiti, tetapi membina satu budaya kerja yang profesional dalam industri agro,” katanya yang bersyukur kerana mendapat sokongan kuat daripada keluarga.
Mohamed Adib juga tidak melihat biri-biri sekadar sebagai haiwan ternakan, namun satu amanah kerana ia mewakili rezeki penjaganya, selain menjadi sumber makanan kepada masyarakat dan aset yang perlu dijaga dengan penuh integriti.
Menurut Mohamed Adib, perjalanannya masih jauh dan tidak menyesali keputusannya menceburi bidang keusahawanan dan penternakan.
“Saya tidak pernah meninggalkan semangat seorang tentera kerana hanya menukar medan perjuangan.
“Jika dahulu saya mempertahankan negara dengan pakaian seragam dan aset ketenteraan, hari ini saya berjuang untuk memastikan lebih ramai rakyat negara ini mampu menjadi pengeluar makanan, bukan sekadar pengguna.
“Impian terbesar saya bukanlah untuk dikenali sebagai usahawan yang memiliki ladang terbesar atau ternakan paling banyak, namun seorang yang berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap industri agro.
“Dulu saya mengangkat sumpah untuk mempertahankan negara sebagai seorang pegawai TLDM… hari ini saya meneruskan sumpah itu dengan cara yang berbeza, membina masa depan negara melalui keterjaminan bekalan makanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




