SEATTLE: Jurulatih Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino kecewa dengan reaksi negatif terhadap penggantungan Folarin Balogun, namun menegaskan bahawa isu itu bukan alasan pasukannya tersingkir daripada Piala Dunia.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membenarkan penyerang itu beraksi dalam perlawanan pusingan 16 terbaik itu, walaupun sebelum ini dilayangkan kad merah dalam perlawanan terdahulu, susulan rayuan Presiden AS, Donald Trump kepada badan induk bola sepak dunia tersebut.
FIFA bagaimanapun memaklumkan keputusan itu tidak dipengaruhi oleh Trump, namun pertikaian yang tercetus menguasai hari-hari terakhir kempen Piala Dunia AS dengan Pochettino terpaksa mempertahankan kelayakan
Balogun untuk beraksi dalam perlawanan yang berakhir dengan kekalahan besar 4-1 di Seattle.
“Saya sangat kecewa dan sangat kesal dengan mereka yang sepatutnya memahami situasi ini.
“Saya fikir ia tidak menjejaskan prestasi kami… ia bukan alasan, dan kami tidak boleh mencari alasan. Hari itu bukan hari kami.
“Tetapi secara peribadi… apa gunanya? Untuk dihina atau menerima begitu banyak mesej buruk atau ugutan, sedangkan pendirian saya ialah, saya ketua jurulatih, ini adalah peraturannya dan pemain itu dibenarkan untuk bermain.’”
“Tugas saya ialah melatih pasukan. Jika Balogun tersedia kerana Jawatankuasa Tatatertib FIFA membenarkan beliau bermain, maka itu bukan satu masalah.
“Secara peribadi, saya berasa amat kecewa dengan terlalu ramai orangi,” kata Pochettino sambil menuduh pengkritik mencampuradukkan’ politik dengan keputusan FIFA.
Balogun, penjaring terbanyak Amerika Syarikat dalam kejohanan itu dengan tiga gol, diturunkan sebagai kesebelasan utama menentang Belgium tetapi gagal memberikan impak yang ketara.
Amerika Syarikat kelihatan jauh berbeza daripada pasukan yang memulakan kejohanan dengan cemerlang di laman sendiri, sekali gus memadamkan harapan penyokong tempatan untuk melihat mereka mara jauh dalam Piala Dunia.
Pochettino enggan mengesahkan sama ada beliau akan terus mengendalikan pasukan kebangsaan AS.
Katanya, beliau mahu berehat terlebih dahulu sebelum berbincang dengan pegawai persekutuan bola sepak negara itu.
Beliau dilaporkan telah ditawarkan lanjutan kontrak bersama AS, namun, bekas ketua jurulatih Tottenham Hotspur, Chelsea dan Paris Saint-Germain itu juga dikaitkan dengan kemungkinan kembali membimbing kelab di Eropah. – AFP/UTUSAN




