Tak boleh didedahkan! Butiran transaksi saham Azam Baki bukan dokumen awam – Azalina

Tak boleh didedahkan! Butiran transaksi saham Azam Baki bukan dokumen awam – Azalina

Kerajaan menolak permintaan supaya butiran transaksi pembelian dan pegangan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki yang melebihi nilai RM100,000 didedahkan kepada umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said menjelaskan, maklumat berkenaan merupakan sebahagian daripada dokumen siasatan yang dilindungi undang-undang selain melibatkan maklumat peribadi serta perisytiharan harta.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, beliau berkata permintaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung untuk mendapatkan senarai transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan tertentu tidak boleh dipenuhi kerana ia bukan dokumen awam.

“Berhubung permintaan Ahli Yang Berhormat untuk mendapatkan senarai transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan yang melebihi nilai tertentu, maklumat yang diminta merupakan sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi serta perisytiharan harta yang dilindungi di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan tidak menjadi dokumen awam,” kata Azalina.

Azalina bagaimanapun memberi jaminan bahawa sebarang maklumat berkaitan isu itu akan dimaklumkan kepada umum sekiranya dirasakan perlu oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara.

Menurut Ahli Parlimen Pengerang itu, isu berkenaan telah diteliti oleh jawatankuasa khas siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari lalu sebelum hasil siasatan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Beliau menegaskan kerajaan mengambil serius aspek pemilikan saham serta pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa dalam kalangan pegawai kanan kerajaan.

“Kerajaan memberi jaminan semua aspek yang berkaitan, termasuk pemilikan saham dan pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa, telah diteliti dalam siasatan tersebut dan tindakan yang sewajarnya telah diambil berdasarkan dapatan jawatankuasa,” katanya.

Sebelum ini, Lee mengemukakan soalan supaya Perdana Menteri menyenaraikan transaksi pembelian saham Azam dari tahun 2012 hingga 2026, termasuk tempoh apabila nilai pegangan saham berkenaan melebihi RM100,000.

Artikel lain: Azalina tegaskan had tempoh jawatan Perdana Menteri 10 tahun elak kezaliman

Isu pemilikan saham melibatkan Azam menjadi perhatian umum selepas laporan Bloomberg dan Malaysiakini yang mendakwa beliau memiliki pegangan saham penting dalam dua syarikat melebihi had yang dibenarkan bagi sektor perkhidmatan awam.

Susulan perkembangan itu, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas diketuai Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar bagi meneliti pematuhan dan keteraturan pembelian 17.7 juta saham oleh Azam yang bernilai sekitar RM1.5 juta.

Kabinet kemudiannya menerima serta membincangkan hasil siasatan jawatankuasa berkenaan pada 11 Mac lalu, namun dapatan penuh laporan itu masih belum didedahkan kepada umum.

Scroll to Top