Atlanta: Lionel Messi sekali lagi membuktikan sentuhan magisnya mampu menutup kelemahan lama apabila bintang Argentina itu terus memimpin pemburuan kejuaraan Piala Dunia, walaupun masih bergelut dengan masalah sepakan penalti.
Pada usia 39 tahun, Messi kekal menjadi tonggak utama juara bertahan itu selepas membantu Argentina mengelak kejutan besar ketika menewaskan Mesir 3-2 dalam aksi pusingan 16 terakhir di Atlanta, awal pagi tadi.
Namun, aksi itu turut menyaksikan kelemahan yang sering menghantui pemenang lapan kali Ballon d’Or itu kembali muncul apabila sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir.
Kegagalan itu hampir menghukum Argentina apabila Mesir mendahului 2-0 menerusi jaringan Yasser Ibrahim dan Mostafa Ziko ketika perlawanan berbaki 11 minit.
Ia adalah kegagalan kedua Messi daripada sepakan penalti pada Piala Dunia kali ini selepas turut gagal menyempurnakan peluang ketika menentang Austria di peringkat kumpulan, menjadikannya pemain pertama gagal menjaringkan lebih daripada satu penalti dalam satu edisi Piala Dunia.
Messi pernah gagal menyempurnakan penalti menentang Iceland pada Piala Dunia 2018 dan Poland empat tahun lalu, menjadikan empat kegagalan daripada sepakan penalti di pentas Piala Dunia sebagai rekod yang tidak diingini.
Secara keseluruhan, rekod penalti Messi masih berada pada tahap tinggi dengan menjaringkan 116 gol daripada 150 percubaan, namun kelemahan itu tetap ketara bagi pemain yang dianggap antara terbaik sepanjang zaman.
Kira-kira 10 tahun lalu, Messi pernah mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas gagal menyempurnakan penalti ketika Argentina tewas kepada Chile di final Copa America 2016.
Ketika itu, dia masih belum memenangi sebarang trofi utama bersama Argentina dan sering dibandingkan dengan legenda negara itu, Diego Maradona yang membawa pasukan ke kejayaan Piala Dunia.
Namun, segala keraguan itu kini lenyap apabila Messi menjadi pemimpin Argentina menjulang dua trofi Copa America selain membantu mereka memenangi Piala Dunia ketiga negara itu di Qatar, empat tahun lalu.
Di Atlanta, air mata Messi kembali mengalir, tetapi kali ini dalam suasana kegembiraan selepas dia mencetuskan kebangkitan luar biasa Argentina.
Hantaran lintangnya membantu Cristian Romero merapatkan jurang sebelum Messi sendiri menjaringkan gol penyamaan untuk rekod menjaringkan gol dalam lapan perlawanan Piala Dunia berturut-turut.
Enzo Fernandez kemudian muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit akhir, memastikan Argentina bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Mesir 3-2 dan terus memburu kejuaraan kedua berturut-turut.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memuji mentaliti Messi yang tidak menyerah selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti, sambil berkata sikap itu menjadi contoh kepada seluruh pasukan.
Argentina akan berdepan Switzerland di suku akhir, Ahad ini, namun keazaman Messi untuk terus berjuang memastikan peluang mereka mempertahankan kejuaraan masih terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




