Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan bahawa PAS tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali membentuk pentadbiran dan beliau dilantik semula sebagai Menteri Besar.
Hanya naratif politik
Merujuk FMT yang memetik laporan Sin Chew, Pengerusi BN Johor itu menyatakan dakwaan kononnya PAS akan menyertai kerajaan negeri hanyalah naratif politik yang sengaja dimainkan bagi mengelirukan pengundi, khususnya masyarakat Cina, menjelang hari pengundian Sabtu ini.
“Saya mahu perkara itu jelas,” katanya.
Nafi dakwaan BN setuju beri jawatan ke PAS
Onn Hafiz turut menafikan dakwaan bahawa BN bersetuju memperuntukkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan kepada PAS sebagai pertukaran kerana parti itu hanya bertanding di 11 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau yang juga Ketua UMNO Johor menyatakan pertembungan antara BN dan PAS di 11 kerusi membuktikan tiada sebarang kerjasama antara BN dengan komponen Perikatan Nasional (PN).
“Adakah anda nampak saya berkempen di Maharani atau Kahang dan mana-mana DUN lain ditandingi PAS? Saya sendiri turun ke sana untuk berkempen bagi calon BN,” katanya.
Sebelum ini, calon DAP bagi Skudai, J. Kartiyaini menggesa BN menjelaskan sama ada terdapat persefahaman politik secara senyap dengan PAS membabitkan jawatan ADUN lantikan.
Terdahulu, Presiden PAS, Hadi Awang dilaporkan berkata parti itu bersedia menyokong BN untuk membentuk kerajaan Johor sekiranya gabungan tersebut gagal memperoleh majoriti mudah selepas pilihan raya.
Sebanyak 56 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Johor dengan 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri. Pada PRN 2022, BN berjaya memenangi 40 kerusi DUN.
Sumber: FMT






